Bagaimana
mahu membina jenama diri anda sendiri
Kenyataan ini adalah sesuatu yang
kadang-kadang kita abaikan dan kita pandang remeh. Setiap hari yang kita lalui
berlalu dengan begitu sahaja tanpa sebarang penilaian. Kita tidak ambil pusing malah kita ambil
mudah segalanya. Akhirnya , sedari kecil
meniti usia kanak-kanak, melampaui tahap keremajaan dan menerobos ke alam
dewasa sehinggalah kita menjadi warga emas, tidak ada apa yang dapat di
tonjolkan kepada umum,sahabat-handai,
anak-pinak dan saudara-mara. Kita merentasi dan melewati batas kehidupan
dengan sederhana sahaja. Tanpa mencipta mahupun meninggalkan satu mercu tanda
untuk menjadi ikutan dan kenangan warga muda mendatang.
Mercu tanda yang dimaksudkan diatas adalah
penjenamaan kendiri. Adakah anda sedar bahawa diri anda juga merupakan satu
jenama? Apa yang anda buat dan lakukan sepanjang perjalanan hidup anda adalah
sebenarnya merupakan pembinaan untuk
identiti diri anda dalam jangkamasa panjang.
Anda akan dikenang, anda akan disanjong
diatas apa yang anda lakukan pada hari ini…Sebagai contohnya Tun Dr Mahathir
Mohamad telah di simbolkan sebagai Bapa Malaysia Moden. Allahyarham Tun Abdul
Abdul Razak Hussein sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Kenapa ini boleh
terjadi. Bagaimana diri anda boleh dikaitkan menjadi satu ikon? Disebut ketika ada, dikenang ketika sudah tiada.
Jawapannya amat mudah. Mereka ini telah
berjaya membina penjenamaan kendiri dengan amat baik sekali. Apa yang pernah
dilakukan oleh kedua mereka yang diatas tadi disepanjang karier mereka sebagai
Perdana Menteri Malaysia adalah sinonim dengan gelaran yang mereka terima pada
hari ini. Allahyarham Tun Abdul Abdul Razak disepanjang hayatnya membantu
membangunkan ekonomi rakyat Malaysia. Felda dan Felcra adalah salah satu
daripada hasil peninggalan dan kerja keras beliau semasa hayatnya. Manakala Tun
Dr Mahathir Mohamad, banyak berjasa
dalam membangunkan Malaysia dengan prasarana moden. Menara Berkembar KLCC dan
Lapangan Terbang KLIA serta Pusat Pemerintahan Kerajaan di Putrajaya adalah hasil
idea beliau yang sentiasa mendahului zaman.
Jenama terkini yang boleh kita banggakan
dewasa ini adalah Dato Nicol David dan
Dato Lee Chong Wei. Mereka telah bermula sejak sekian lama untuk mengukir
jenama kendiri dan kini sedang dalam era penambahbaikan berterusan . Kedua
jenama ini sudah pun menjadi idola Negara dan akan bakal disanjung sampai
bila-bila.
Jika anda berminat untuk mencuba membina
jenama kendiri anda. Anda boleh saja memulainya sekarang. Disini ,ada beberapa
petua yang dapat saya pertaruhkan bagi
membantu anda sepanjang proses
pelaksanaannya nanti.
- Anggaplah
pembinaan jenama kendiri sebagai satu pelaburan jangka panjang.
Sila lihat jenama diri anda sendiri sebagai
pelaburan. Contoh: jika nama anda Ismail bin Ahmad. Apakah yang anda mahu
bentuk daripada jenama ini. Adakah sekadar manusia biasa? Pembinaan jenama ini
seharusnya nya bermula sedari anda masih remaja. Mungkin anda tidak terserempak
dengan artikel ini lebih awal daripada itu. Jika boleh , lebih awal dibentuk
adalah lebih baik. Barangkali juga ketika anda sedang berada di universiti,
baru lah anda terjumpa akan konsep penjenamaan ini. Tidak mengapa. Anda masih
belum terlambat. Mula lah membentuk peribadi anda mulai saat dan detik ini.
Lihat lah pembentukan jenama diri anda
sebagai satu pelaburan. Ianya adalah pelaburan jangka panjang. Apa yang anda
mahu diri anda dilihat pada 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun yang akan datang
harus mula di bentuk dan dipupuk bermula daripada sekarang. Anda ingi jadi
seorang hafiz, anda ingin jadi seorang ahli politik atau anda ingin jadi apa
sahaja. Bermula lah daripada sekarang. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan
dapat akan sagunya.
Bukan tidak boleh jika anda mahu
menyasarkan pembinaan jenama anda itu sebagai pelaburan jangka pendek atau jangka pertengahan, namun
begitu hasilnya pasti tidak akan se..uumph..pelaburan berjangka yang lebih
panjang.
- Ujudkan
sebuah laman web yang menceritakan dan mempromosikan siapakah diri anda ;
“Run a blog or website that is all you”
Perkara yang kedua yang mungkin boleh
membantu anda, adalah dengan membina sebuah laman web atau laman blog yang
menceritakan siapakah diri anda. Tidak perlulah data peribadi mahu dipaparkan
disini. Memadai dengan memuatkan apa yang menjadi kekuatan diri anda. Jika anda
minat menulis novel dan mahu menjadi Ain Maisarah , maka muatnaik lah apa juga karangan anda kelaman
sesawang anda itu. Biarpun ceritanya tidak seberapa tetapi lama kelamaan anda
akan dikenali sebagai penggiat novel. Kuasa internet yang menjadikan dunia
tanpa sempadan memungkinkan segalanya berlaku.
Begitu juga sebagai contohnya, jika anda
meminati bidang tertentu…muatnaiklah apa juga artikel karya sendiri dibidang
yang berkenaan, jika tidak mencukupi, ambil lah sedutan artikel dari sumber
lain dibidang yang sama. Lama kelamaan anda akan menempa nama dibidang yang
anda sukai itu.
- Pastikan
jenama itu sentiasa segar dimata semua
Ada banyak perkara yang membolehkan jenama
itu kelihatan segar dimata semua. Jika
di dunia siber, pengemaskinian laman web atau blog peribadi anda tadi yang
berterusan amat lah penting untuk memastikan ia tetap segar dan panas dalam
tatapan pembaca, manakala didalam dunia
realiti pula, kehadiran kita di majlis atau acara penting dapat membantu
membuatkan nama anda sentiasa berlegar di mata dan minda ramai. Apatah lagi
jika kehadiran itu diberikan sedikit kesan dengan memberikan ilmu, idea,
pandangan, buah tangan, perbuatan, nasihat
atau apa jua yang berguna kepada orang-orang yang berada disekeliling
anda.
- Berusahalah
untuk menambah baik kepakaran, ilmu dan kebolehan serta personaliti diri
anda.
Berusahalah untuk senantiasa memperbaiki
kebolehan diri. Walau dari apa segi sekalipun, penambahbaikan berterusan akan
menyebabkan jenama kendiri anda menjadi semakin berkuasa. Penampilan
personaliti diri yang semakin bagus dimata umum akan menaikan “rating” jenama kendiri anda. Begitu juga dengan penambahkan kebolehan diri dalam pelbagai
segi pastinya akan membuatkan anda satu jenama yang serba boleh. Manakala ilmu
yang semakin tinggi akan meletakkan jenama anda ditaraf yang berlainan dengan
jenama kendiri lain disekitar anda.
- Jangan
hanya bersetuju dengan apa yang
diperkatakan oleh orang yang anda suka.
Untuk membina kredibiliti anda dimata
ramai, anda mungkin sekali sekala perlu menentang arus. Jika selamanya anda
menjadi pak turut terutama apabila berdepan dengan mereka yang anda minati dan
hargai, kredibiliti anda tidak akan
nampak teserlah. Oleh yang demikian jika sekali sekala anda memberikan
pandangan anda dengan cara dan diplomasi anda yang tersendiri, anda akan turut
sama membina kredibiliti di sepanjang sesi perbualan atau pertemuan tersebut.
Itu adalah lebih baik untuk membina jenama kendiri dalam jangkamasa yang panjang.
- Usahakan
supaya orang sentiasa bercakap tentang diri anda.
Inilah yang paling sukar sekali rasanya.
Bukan mudah untuk mendapatkan perhatian ramai. Bukan senang mahu membina
suasana dimana orang sentiasa prihatin, ingat dan bercakap tentang anda.
Walaubagaimanapun , jika anda telah Berjaya
membentuk personality yang menyenangkan semua dimata umum disamping selalu
muncul dengan idea-idea baru yang sentiasa dinantikan oleh semua orang, maka
tidak mustahil jenama anda akan sentiasa meniti dibibir semua saban ketika.
Sebagai kesimpulannya, untuk kita
membina jenama kendiri yang tersendiri,
kita perlu memulakannya sedari awal iaitu pada hari ini dan pembentukan itu
haruslah konsisten dengan apa imej yang ingin kita hajatkan. Usaha yang
berterusan dalam jangkamasa yang panjang akhirnya pasti akan membuahkan hasil
yang lumayan dimana anda akan dapat membentuk satu identiti diri yang dapat membezakan diri anda berbanding
yang lain.
Oleh:
Syed
Mazlan Bin Syed Mat Dom