SPONSORED ADVERTISEMENT

Tuesday 4 September 2012

Membina jenama kendiri


Bagaimana mahu membina jenama diri anda sendiri

Kenyataan ini adalah sesuatu yang kadang-kadang kita abaikan dan kita pandang remeh. Setiap hari yang kita lalui berlalu dengan begitu sahaja tanpa sebarang penilaian.  Kita tidak ambil pusing malah kita ambil mudah segalanya.  Akhirnya , sedari kecil meniti usia kanak-kanak, melampaui tahap keremajaan dan menerobos ke alam dewasa sehinggalah kita menjadi warga emas, tidak ada apa yang dapat di tonjolkan kepada umum,sahabat-handai,  anak-pinak dan saudara-mara. Kita merentasi dan melewati batas kehidupan dengan sederhana sahaja. Tanpa mencipta mahupun meninggalkan satu mercu tanda untuk menjadi ikutan dan kenangan warga muda mendatang.

Mercu tanda yang dimaksudkan diatas adalah penjenamaan kendiri. Adakah anda sedar bahawa diri anda juga merupakan satu jenama? Apa yang anda buat dan lakukan sepanjang perjalanan hidup anda adalah sebenarnya merupakan  pembinaan untuk identiti diri anda dalam jangkamasa panjang.

Anda akan dikenang, anda akan disanjong diatas apa yang anda lakukan pada hari ini…Sebagai contohnya Tun Dr Mahathir Mohamad telah di simbolkan sebagai Bapa Malaysia Moden. Allahyarham Tun Abdul Abdul Razak Hussein sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Kenapa ini boleh terjadi. Bagaimana diri anda boleh dikaitkan menjadi satu ikon? Disebut  ketika ada, dikenang ketika sudah tiada.

Jawapannya amat mudah. Mereka ini telah berjaya membina penjenamaan kendiri dengan amat baik sekali. Apa yang pernah dilakukan oleh kedua mereka yang diatas tadi disepanjang karier mereka sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah sinonim dengan gelaran yang mereka terima pada hari ini. Allahyarham Tun Abdul Abdul Razak disepanjang hayatnya membantu membangunkan ekonomi rakyat Malaysia. Felda dan Felcra adalah salah satu daripada hasil peninggalan dan kerja keras beliau semasa hayatnya. Manakala Tun Dr Mahathir Mohamad,  banyak berjasa dalam membangunkan Malaysia dengan prasarana moden. Menara Berkembar KLCC dan Lapangan Terbang KLIA serta Pusat Pemerintahan Kerajaan di Putrajaya adalah hasil idea beliau yang sentiasa mendahului zaman.

Jenama terkini yang boleh kita banggakan dewasa ini adalah  Dato Nicol David dan Dato Lee Chong Wei. Mereka telah bermula sejak sekian lama untuk mengukir jenama kendiri dan kini sedang dalam era penambahbaikan berterusan . Kedua jenama ini sudah pun menjadi idola Negara dan akan bakal disanjung sampai bila-bila.

Jika anda berminat untuk mencuba membina jenama kendiri anda. Anda boleh saja memulainya sekarang. Disini ,ada beberapa petua yang dapat saya pertaruhkan  bagi membantu anda sepanjang  proses pelaksanaannya nanti.

  1. Anggaplah pembinaan jenama kendiri sebagai satu pelaburan jangka panjang.

Sila lihat jenama diri anda sendiri sebagai pelaburan. Contoh: jika nama anda Ismail bin Ahmad. Apakah yang anda mahu bentuk daripada jenama ini. Adakah sekadar manusia biasa? Pembinaan jenama ini seharusnya nya bermula sedari anda masih remaja. Mungkin anda tidak terserempak dengan artikel ini lebih awal daripada itu. Jika boleh , lebih awal dibentuk adalah lebih baik. Barangkali juga ketika anda sedang berada di universiti, baru lah anda terjumpa akan konsep penjenamaan ini. Tidak mengapa. Anda masih belum terlambat. Mula lah membentuk peribadi anda mulai saat dan detik ini.

Lihat lah pembentukan jenama diri anda sebagai satu pelaburan. Ianya adalah pelaburan jangka panjang. Apa yang anda mahu diri anda dilihat pada 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun yang akan datang harus mula di bentuk dan dipupuk bermula daripada sekarang. Anda ingi jadi seorang hafiz, anda ingin jadi seorang ahli politik atau anda ingin jadi apa sahaja. Bermula lah daripada sekarang. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat akan sagunya.

Bukan tidak boleh jika anda mahu menyasarkan pembinaan jenama anda itu sebagai pelaburan  jangka pendek atau jangka pertengahan, namun begitu hasilnya pasti tidak akan se..uumph..pelaburan berjangka yang lebih panjang.

  1. Ujudkan sebuah laman web yang menceritakan dan mempromosikan siapakah diri anda ; “Run a blog or website that is all you”

Perkara yang kedua yang mungkin boleh membantu anda, adalah dengan membina sebuah laman web atau laman blog yang menceritakan siapakah diri anda. Tidak perlulah data peribadi mahu dipaparkan disini. Memadai dengan memuatkan apa yang menjadi kekuatan diri anda. Jika anda minat menulis novel dan mahu menjadi Ain Maisarah , maka  muatnaik lah apa juga karangan anda kelaman sesawang anda itu. Biarpun ceritanya tidak seberapa tetapi lama kelamaan anda akan dikenali sebagai penggiat novel. Kuasa internet yang menjadikan dunia tanpa sempadan memungkinkan segalanya berlaku.

Begitu juga sebagai contohnya, jika anda meminati bidang tertentu…muatnaiklah apa juga artikel karya sendiri dibidang yang berkenaan, jika tidak mencukupi, ambil lah sedutan artikel dari sumber lain dibidang yang sama. Lama kelamaan anda akan menempa nama dibidang yang anda sukai itu.

  1. Pastikan jenama itu sentiasa segar dimata semua

Ada banyak perkara yang membolehkan jenama itu kelihatan segar dimata semua.  Jika di dunia siber, pengemaskinian laman web atau blog peribadi anda tadi yang berterusan amat lah penting untuk memastikan ia tetap segar dan panas dalam tatapan pembaca, manakala  didalam dunia realiti pula, kehadiran kita di majlis atau acara penting dapat membantu membuatkan nama anda sentiasa berlegar di mata dan minda ramai. Apatah lagi jika kehadiran itu diberikan sedikit kesan dengan memberikan ilmu, idea, pandangan, buah tangan, perbuatan, nasihat  atau apa jua yang berguna kepada orang-orang yang berada disekeliling anda.

  1. Berusahalah untuk menambah baik kepakaran, ilmu dan kebolehan serta personaliti diri anda.

Berusahalah untuk senantiasa memperbaiki kebolehan diri. Walau dari apa segi sekalipun, penambahbaikan berterusan akan menyebabkan jenama kendiri anda menjadi semakin berkuasa. Penampilan personaliti diri yang semakin bagus dimata umum akan menaikan “rating”  jenama kendiri anda. Begitu juga dengan  penambahkan kebolehan diri dalam pelbagai segi pastinya akan membuatkan anda satu jenama yang serba boleh. Manakala ilmu yang semakin tinggi akan meletakkan jenama anda ditaraf yang berlainan dengan jenama kendiri lain disekitar anda.

  1. Jangan hanya  bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh orang yang anda suka.

Untuk membina kredibiliti anda dimata ramai, anda mungkin sekali sekala perlu menentang arus. Jika selamanya anda menjadi pak turut terutama apabila berdepan dengan mereka yang anda minati dan hargai,  kredibiliti anda tidak akan nampak teserlah. Oleh yang demikian jika sekali sekala anda memberikan pandangan anda dengan cara dan diplomasi anda yang tersendiri, anda akan turut sama membina kredibiliti di sepanjang sesi perbualan atau pertemuan tersebut. Itu adalah lebih baik untuk membina jenama kendiri  dalam jangkamasa yang panjang.

  1. Usahakan supaya orang sentiasa bercakap tentang diri anda.

Inilah yang paling sukar sekali rasanya. Bukan mudah untuk mendapatkan perhatian ramai. Bukan senang mahu membina suasana dimana orang sentiasa prihatin, ingat dan bercakap tentang anda.

Walaubagaimanapun , jika anda telah Berjaya membentuk personality yang menyenangkan semua dimata umum disamping selalu muncul dengan idea-idea baru yang sentiasa dinantikan oleh semua orang, maka tidak mustahil jenama anda akan sentiasa meniti dibibir semua saban ketika.

Sebagai kesimpulannya, untuk kita membina  jenama kendiri yang tersendiri, kita perlu memulakannya sedari awal iaitu pada hari ini dan pembentukan itu haruslah konsisten dengan apa imej yang ingin kita hajatkan. Usaha yang berterusan dalam jangkamasa yang panjang akhirnya pasti akan membuahkan hasil yang lumayan dimana anda akan dapat membentuk satu identiti diri  yang dapat membezakan diri anda berbanding yang lain.

Oleh:

Syed Mazlan Bin Syed Mat Dom