SPONSORED ADVERTISEMENT

Wednesday 11 June 2014

Generasi kerengga mudah lupa pengorbanan orang dahulu

Headline: Generasi kerengga mudah lupa pengorbanan orang dahulu
Publication: BH
Date of publication: May 29, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 037
Byline / Author: Oleh Syed Mazlan Syed Mat Dom


Penerapan nilai murni kepada generasi muda perlu digerakkan sepanjang masa. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan segala perkara yang tidak disangka boleh sahaja terjadi.

Antara nilai murni yang patut ada dalam kalangan generasi muda adalah sikap usul periksa dan tidak mudah percaya membabi buta, menghormati yang lebih tua, berpengalaman serta banyak membuat jasa dan tahu untuk berterima kasih kepada bantuan, pertolongan mahu pun pemberian orang. Nila murni itu sudah semakin pupus dalam kalangan sebahagian generasi muda hari ini.

Generasi muda tidak harus melatah dan terpengaruh dengan ayat klise kebebasan hak manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan memilih dalam apa juga perkara. Perkataan seperti rasuah, kroni, tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran atau sebagainya hanyalah momokan mencari sokongan oleh pihak yang memberi alternatif.

Malangnya, ciri-ciri yang diberikan ini diguna pakai sebagai penilaian dalam menilai pemerintah sahaja, tetapi tidak turut dipakai apabila menilai golongan alternatif berkenaan.

Ayat klise jadi buah mulut, ikutan

Sejak dari zaman kanak-kanak lagi generasi ini telah di ajar dan diprogramkan ke dalam minda mereka supaya berfikiran sedemikian. Bahkan, ayat klise itu tadi menjadi buah mulut dan ikutikutan tanpa pengertian yang mendalam terhadap bagaimana untuk mempraktikkan dan di kala mana ia perlu dipraktikkan.

Kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kami pembayar cukai adalah antara ayat yang menjadi pujaan semasa. Seolah-olah ia satu fahaman baharu yang merentasi agama dan budaya serta norma kehidupan seharian. Habis melatah semua anak muda. Hasilnya, maka terkinja-kinjalah mereka di sekitar pasar raya, bandar raya dan jalan raya.

Janganlah jadi seperti kerengga, sekali tersauk bagai di rasuk. Menyerang musuh tanpa kajian, usul periksa dan tanpa perbandingan. Generasi kerengga ini juga begitu taksub akan ketuanya. Apa yang tidak kena kepada orang lain semuanya betul belaka. Tak perlu untuk disemak buat kali kedua, tetapi apabila terconteng ke batang hidung sendiri, ia perlu segera dinafikan.

Pengikutnya memang tak mahu nak percaya. Malah sudah di ajar supaya jangan percaya kepada apa juga khabar berita yang tidak elok mengenai kumpulannya.

Generasi kerengga juga terlalu sukar untuk menghormati pandangan dan pendapat mereka yang lebih tua. Ini kerana kepada mereka siapa dahulu yang memakai pampers adalah lebih relevan pada ketika ini daripada siapa dahulu yang memakan asam dan garam. Kiasan lama itu bagi generasi kerengga sudah lama lapuk di telan zaman.

Generasi kerengga juga amat sukar untuk berterima kasih kepada orang lain hatta kepada negara sekalipun. Cuba kita lihat kerengga. Dalam keluarga semut dialah yang paling cantik. Dengan warna kuning-kekuningan merah-kemerahan, dialah semut paling comel. Di tambah pula dengan pinggangnya yang ramping, dialah yang paling seksi. Tetapi perilakunya, jauh sekali dari menjadi cerminan dirinya yang anggun dan seksi itu. Perhatikan, apabila membuat sarang di sebatang pohon mangga di depan rumah kita, dia akan menjadi raja dan bermaharajalela di sana.

Tidak tahu berterima kasih

Apabila cuba didekati, atau cuba kita cerobohi kawasan mahu pun sarangnya, usahkan binatang lain, tuan pokok dan tuan tanah yang ditumpanginya pun akan digigit sehabis daya. Begitu sekali tidak tahu berterima kasihnya kalau mahu dianalogikan generasi kerengga ini.

Kiasan yang boleh di buat di sini adalah seperti anak yang diberikan peluang menimba pelajaran, diberikan kasih sayang, kemudahan bergerak, kemudahan perhubungan, kemudahan kewangan, kehidupan selesa, malah di bantu untuk mendapatkan pekerjaan oleh kedua-dua ibu bapanya, apabila sudah dewasa dan menjadi orang berada sanggup berkata, ibu ayah tidak jujur, ibu ayah tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran keluarga. Ada kroni dan pilih kasih dalam keluarga lalu membawa diri keluar dari rumah dan mencari keluarga angkat yang dirasakannya lebih jujur dan lebih baik dalam segala aspek.

Lalu dia mendambakan diri kepada keluarga angkatnya dan berkata: "Saya tidak membelakangi ayah ibu kandung saya, sebab ayah ibu saya tetap kekal ibarat kekalnya sesebuah negara. Saya tetap taat dan sayang kepada ibu dan ayah saya. Namun, saya rasa jasa ibu ayah saya ini tidak perlu dikenang dan dibalas jasanya kerana itu memang tanggungjawab mereka, ibarat tanggungjawab negara kepada rakyatnya".

Inikah generasi baharu yang kita mahu? Inikah pemuda-pemudi pelapis yang kita ingin didik dan lahirkan? Sadis sekali jika kita memikirkan bahawa generasi kerengga inilah yang bakal mentadbir negara. Apa akan jadi kepada negara ini pada ketika itu?

Inilah doktrin baharu yang sedang diserapkan oleh pihak pendokong alternatif. Dengan mempersoalkan sejarah tanah air, menjadikan undang-undang sebagai bahan permainan dan momokan dengan tujuan untuk mendidik generasi muda supaya bersifat seperti kerengga. Supaya generasi ini menjadi generasi " sorry, no thank you for you".

Tidak perlu disanjung usaha pemerintah yang ada. Tidak perlu dikenang segala jasa datuk nenek moyang mereka. Kerana anda adalah anda. Generasi kerengga ini jika berterima kasih pun setakat hanya pemanis bibir.

Melihat pula di laman siber, bekas pemimpin negara malah pemimpin semasa diselar malah dipersenda. Yang memberi komentar rata-ratanya generasi muda. Jika sekali-sekala kita terfikir bahawa kita ini seorang yang tidak pandai berbudi bahasa, janganlah kecewa sebab di alam siber terdapat berpuluh ribu yang lebih biadap daripada kita. Inilah generasi kerengga, hasil didikan alternatif semasa.

Generasi buta sejarah

Generasi kerengga juga adalah generasi buta sejarah. Tidak minat untuk mendalaminya kerana telah dipesongkan pemikiran bahawa kononnya sejarah negara sudah lama di manipulasi oleh pihak pemerintah negeri.

Persoalannya, kenapa orang muda yang berpotensi besar menjadi generasi kerengga? Mudah sekali jawapannya. Fokus utama pihak yang berkenaan adalah menyasarkan generasi muda yang mudah dibentuk corak pemikirannya. Begitulah juga yang dibuat oleh komunis pada waktu dahulu. Anak muda, anak sekolah dan kanak-kanak menjadi sasaran utama mereka. Joseph Stalin digilai dan dijadikan ikon oleh generasi muda pada zamannya.

Sebagai kesimpulannya, pihak berwajib harus sentiasa peka dan perlu membanteras segera segala usaha yang digerakkan oleh kumpulan tertentu ke arah pembentukan generasi kerengga ini. Sesungguhnya, keperluan untuk generasi muda di luar sana menidakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada statistik terkini keahlian generasi kerengga amatlah di hargai. Adalah lebih baik mencegah daripada berpeluh sakan menanggung musibah.

* Penulis adalah Pensyarah Kanan Pengurusan Perniagaan, UiTM Melaka

No comments:

Post a Comment