SPONSORED ADVERTISEMENT

Wednesday 15 August 2012

Awasi diet perbelanjaan elak sindrom “ kering-kontang“ selepas raya

Awasi diet perbelanjaan elak sindrom “ kuak-lentang“ selepas raya ..atau
Awasi diet perbelanjaan elak sindrom “ pokai“ selepas raya ..atau
Awasi diet perbelanjaan elak sindrom “ gawat“ selepas raya
oleh
Syed Mazlan Syed Mat Dom

BIAR banyak atau sedikit, peruntukan kewangan amat penting bagi mempersiapkan diri menghadapi Aidilfitri. Segala nya perlu di ambil kira. Dari pakaian baru, peruntukan duit raya, kos perjalanan pulang ke kampung hinggalah ke juadah makanan .Semuanya menjadi bajet yang perlu diberikan perhatian.
Ini semua sebenarnya, tidak menimbulkan  masalah kewangan andai seseorang itu telah membuat perancangan lebih awal. Katalah semenjak awal tahun 2012 dahulu lagi. Namun begitu, yang menjadi masalahnya, tak berapa kerat sahaja di antara kita yang sudah benar-benar bersedia dengan bajet menyambut hari raya dengan erti kata yang sebenarnya. Kebanyakan kita mempunyai ciri bajet “impromptu” ia itu bajet membujur lalu melintang patah. Bajet jenis ini boleh dikatakan, berbelanja ikut keadaan selagi ada modal sampailah keadaan kewangan menyusut di mana tatkala itu baru lah secara paksa masing-masing mengikat perut, menjerut tekak dan memejamkan mata terhadap apa jua di sekeliling mereka.Bagi mereka yang berkemampuan, tidak timbul masalah baik sebelum atau selepas hari raya.Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berhemah ketika berbelanja atau memiliki tabungan yang tidak cukup selepas cuti raya?
Sebenarnya, tempoh setahun untuk menyambut Aidilfitri berikutnya adalah mencukupi untuk mengumpul bajet kewangan, sekali gus terhindar daripada bebanan hutang dan krisis kewangan menjelang dan selepas musim perayaan itu. Selama 12 bulan dalam setahun, mustahil kita tidak boleh menyimpan sedikit pendapatan bulanan untuk mendapatkan bajet hari lebaran yang mencukupi . Memanglah sukar jika kita terpaksa mengasingkan sedikit pendapatan bulanan. Namun, jika dikaji kesannya, tidakkah ia menguntungkan kita? Tidak lah kita sakit kepala apabila musim perayaan ini menjelang tiba. Ini lah yang patut kita buat untuk menyambut Aidilfitri 2013 nanti.

Kata keramat ini ada juga kebenarannya.Wang bukan lah segala-galanya,tetapi segala-galanya memerlukan wang. Itulah hakikat yang harus kita telan dan membuatkan wang menjadi terlalu penting dalam kehidupan kita. Tapi, awas kerana jika kita menggunakan wang secara tidak berhemah,kelak nanti  akan menjadi beban pula  kepada kita.



Menjelang hari raya pola perbelanjaan kita tentunya berlainan dari kebiasaan.Manakan tidak? Di sepanjang bulan puasa lagi kita sudah begitu boros berbelanja.Ketika perut sedang berkeroncong, di waktu itu lah kita menapak menelusuri jajaran gerai di pasar ramadhan.Apa yang terlihat semuanya menggoda, apa yang terbau semuanya sedap. Pendek kata, ikan cincaru masin pun tampak menyelerakan dan sedap seperti daging rusa salai pada waktu dan saat itu. Pusing punya pusing, ronda punya ronda, sampai sudah penuh kedua belah tangan menjinjing. Sedar tak sedar, paling kurang RM30 selesai  dibelanjakan.
Beberapa hari lagi menjelang lebaran, ada surirumah yang telah mula membuat kueh mueh, atau paling tidak membeli beberapa jenis kueh raya yang ada dijual di mana-mana.Ada juga yang bercadang untuk menggantikan kain langsir, mengecat rumah, mengganti kusyen dan membeli barang kemas perhiasan diri. Ini semua memerlukan perkiraan.Bukan sewenangnya boleh dilakukan jika kita mahu menjaga bajet supaya tidak defisit di bulan berikutnya.
Bagi sang suami pula, belanjawan bunga api untuk anak-anak, membeli pakaian untuk ahli keluarga, kos menghantar kereta untuk di serbis, kos minyak, jajan dan tol untuk pulang berhari raya di kampong halaman juga tidak harus di lupa, malah ada juga yang kepingin untuk beraya dengan kereta baharu.  Ini juga perlukan perkiraan wajar tatkala Aidilfitri menjelang tiba.
Bagi yang baru berumah tangga, tentunya kemeriahan untuk beraya kali pertama di rumah ibu bapa mertua mengatasi segalanya. Ada yang pasang badan untuk menjaga saham berbanding ipar duai. Ada juga yang pulang beraya dengan segalanya serba baru. Baju melayu baru, seluar baru, tudung baru, baju kurung baru, talipon bimbit baru dan bermacam lagi gajet  yang juga baru. Kononnya untuk menjaga reputasi diri di mata anak buah dan ipar duai.Ini juga perlukan perkiraan yang teliti sebelum boleh mempamirkan aksi diri. Kalau tidak, bio pape asei begaye lah jawapannya.
Untuk anak muda remaja, untuk generasi  celik komputer hari ini, baik lelaki mahupun perempuan tentunya ada yang kepingin untuk mempunyai  gajet raya. Bajet untuk TGV juga perlu di ambil kira. Apatah lagi yang kecil-kecil lagi sudah ada mak we pak we. Tentu sahaja bajet keluar bersama perlu ada dalam perkiraannya.
Bagi lelaki muda belia yang sudah meninggalkan alam persekolahan, belajar di kolej atau universiti atau baru saja menjenguk ke alam pekerjaan, lain pula keadaannya.  Bajet bulan Ramadan mereka sehingga membawa kebulan raya banyak dipengaruhi oleh berbagai perkara yang mungkin berlainan sedikit dari si muda remaja. Pertama di antaranya adalah bajet untuk rokok. Rokok menjadi punca utama sesetengah lelaki yang merokok mengalami kekurangan wang. Kira-kira 40% lelaki di Malaysia adalah perokok tak kiralah perokok tegar ataupun tidak.Ini kerana biasanya perokok tegar menghabiskan RM10 untuk sekotak rokok sehari. Kalau sebulan,mahunya RM 300 dibakar demi memuaskan ketagihan tembakau. Itu baru sekotak,kalau dua kotak sehari macam mana pula? Oleh itu wahai lelaki, jangan merokok la… kerana bajet Aidilfitri anda boleh tonggang terbalik kerananya. Yang kedua, ketagihan permainan video dan maya.  Lelaki memang tidak di nafikan sebagai golongan yang kerap serta gemar bermain permainan video serta permainan komputer lain. Buktinya,lihatlah di cyber cafe, selain penuh dengan kanak-kanak dan remaja , ada juga lelaki yang ‘taksub’ bermain permainan seperti dota, condition zero,dan banyak lagi permainan yang berbentuk ‘strategi’ yang memang banyak memakan duit kerana mereka bukannya hanya perlu sejam dua bermain ,kadangkala  sampai 5 jam tanpa henti pun belum tentu berjaya untuk untuk menyudahkan permainan itu. Ketiga, hobi mengubah suai kenderaan. Bagi sebilangan lelaki yang mat motor serta mat kereta, mereka biasanya mengeluarkan perbelanjaan yang agak banyak untuk mengubah suai kenderaan mereka untuk menjadi lebih canggih,’berkuasa’ serta cantik.
Dikalangan kaum perempuan pula, terutama yang  muda belia, mereka juga tidak pernah lari dari masaalah bajet. Ini adalah kerana minat dan kegemaran masing-masing.  Jika tabiat atau minat ini tidak di kawal menjelang hari raya, maka sudah pasti  akan menimbulkan suasana  “kuak lentang “ apabila selesai saja mereka menyambutnya.  Minat yang pertama, perempuan memang sinonim dengan membeli belah. Pendekata, perempuan dan “shopping”  memang istilah yang tidak boleh dipisahkan.  Yelah, perempuan suka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli belah pakaian yang baru dan sebagainya dengan banyak. Sebagai contohnya: Kalau baju biru, kain pun nak biru, malah kasut dan tudung pun nak yang warna biru juga.  Ini agak membazir jika ia di lakukan secara kerap dan mempunyai banyak  pasang pakaian,kasut dan sebagainya yang pelbagai warna yang dibeli dan disimpan selepas digunakan cuma sekali dua sahaja. Yang kedua, mekap dan aksesori kecantikan . Sesetengah perempuan suka sangat ingin penampilan mereka sentiasa cantik dan menawan. Ini tak salah,cuma agak-agak  la sedikit. Ini kerana perbelanjaan untuk membeli bedak asas,bedak,lipstik,celak,maskara,pewarna muka dan sebagainya agak mahal lebih lebih lagi jika digunakan sepanjang hari.  Itu baru pada bahagian muka, belum lagi bahagian rambut/tudung, rawatan kuku, terapi kaki, , barangan kemas,dan sebagainya.  Jika mahu diperincikan satu persatu ,mesti banyak sekali. Ketiga, penjagaan badan secara keseluruhan seperti mandian lulur satu badan, membuang lemak , mengempiskan perut dan sebagainya. Ada juga perempuan yang biasanya sudah bekerja serta suri rumah yang ingin menjadikan seluruh wajah atau badan mereka sentiasa cantik dan anggun untuk menarik minat lelaki lain ataupun untuk mengelakkan si -suaminya lari. Namun demikian kos untuk ‘menyelenggarakan badan’ mereka sememangnya mahal. Kosnya mungkin boleh mencecah  beribu ringgit Malaysia walaupun cuma hendak membedah hidung yang penyek untuk menjadi lebih mancung. Itu baru servis hidung,belum lagi bibir nipis yang mahu di tebalkan,wajah dan sebagainya. Ada yang juga mengambil suntikan bulanan vitamin C ,botox dan macam-macam untuk menjadikan wajah dan penampilan mereka lebih  anggun dan menawan. Memandangkan segala perbelanjaan ini sudah seperti menjadi rutin bulanan, maka semestinya ia akan mempunyai impak yang sangat besar apabila menjelang musim-musim perayaan dengan mengambil kira perbelanjaan lain yang turut ada tersenarai di waktu dan ketika yang sama.
Masaalah kekeringan bajet ini jika mahu diperincikan lagi satu persatu memang tidak akan nada penghujungnya. Jika di ketika hari biasa ia sudah menampakkan kesan, apatah lagi jika tabiat itu tidak dibendung ketika hampirnya musim perayaan. Maka akan bertambah parah lagi kondisi bajet diri kita di buatnya.  Lihat sahaja lah bagi yang sudah terbiasa makan di luar.Tabiat kerap makan di luar ini kurang elok jika selalu diamalkan. Maksud penulis,  bukan lah makan di medan selera atau kedai yang biasa kita makan tengah hari itu,tetapi makan luar di tempat-tempat yang agak mahal seperti restoran,fаѕt food contohnya  McD,KFC,  Domino, Kenny Rogers,  Manhattan Fish Market, Kopitiam dan sebagainya. Jika sekali sebulan tidak mengapa.Tetapi  kalau sudah setiap seminggu memang lah tidak berduit kita  di buatnya.
Satu lagi feel yang tak kurang juga mengundang bahaya untuk mudah kering kocek adalah kegemaran membeli gajet-gajet terkini dengan kerap. Dunia yang serba canggih kini telah membuatkan banyak keluaran gajet-gajet terkini serta promosi yang hebat muncul seperti iphone,blackberry, Nokia terbaru, Samsung S111, laptop Macintosh, Ipad  dan sebagainya. Ini membuatkan ramai orang rambang mata dengan keluaran terbaharu yang lebih menarik dan canggih serta sanggup menukar handphone setiap dua bulan sekali. Ini betul-betul membazirkan wang kerana sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk membeli gajet idaman hati.
Seterusnya pula, ada juga sebilangan diantara kita yang suka sangat dengan hiburan. Ada sebilangan kecil pelajar serta orang yang sudah bekerja yang suka  sangat pergi “clubbing” , berdisko, berdangdut, atau mengunjungi konsert artis tempatan dan antarabangsa untuk menenangkan diri. Ini bukan saja membazirkan wang, malah perkara ini boleh mengajak kita kepada melakukan maksiat . apatah lagi jika dilakukan dibulan Ramadan yang mulia ini. Selain poket tiris pahala juga semakin menipis.

Menjenguk pula kita kepada suasana semasa hari raya, semasa hari lebaran, banyak juga perincian kewangan yang perlu kita fikirkan.  Bagi suami isteri, pertama kena beri duit raya pada anak- anak, jika anak masih kecil maka kecil lah jumlahnya tetapi jika anak sudah remaja , maka besar lah sedikit jumlah yang perlu di ketepikan untuk mereka. Bagi yang mempunyai bilangan anak yang ramai,  rasanya mahu juga pening kepala memikirkan duduk perkara. Di hari lebaran juga, sedikit tanda mata perlu di sediakan untuk kedua ayah bonda, dan juga mertua.  Belum lagi di ambil kira duit bunga api , duit raya untuk  anak buah sendiri  dan pihak isteri atau suami, anak jiran tetangga yang datang berkunjung , persiapan duit minyak tol untuk balik ke kampong halaman sendiri  dan kampong halaman suami atau isteri serta kos perjalanan untuk  menziarahi kaum keluarga dan sanak-saudara serta  handai taulan. Semuanya ini memang memeningkan kepala sekiranya tidak di perincikan segera.
 Selepas raya pula, seperti yang di jangka. Bil –bil tertunggak mula lah tiba. Bil letrik, bil air , bil telefon , bil internet, bil  kad kredit, bil televisyen satelit, bil insuran nyawa dan sebagai nya lagi. Seperti lah tiada waktu lain ia mahu sampai ketangan kita, selepas hari raya lah juga masa yang di pilihnya.  Untuk menambahkan lagi keperitan kewangan yang ada, datang lah pula kad jemputan kahwin dari sahabat handai jiran tetangga .Maka menggaru kepala dan mengeluh panjang lah kita di buatnya. Untuk tahun 2012 ini , bagi pekerja sektor kerajaan, selepas mendapat gaji seminggu menjelang raya, sumber pendapatan yang seterusnya hanya akan masuk ke akaun bank pada 25hb September .  Ada 43 hari berselang yang harus anda berjuang dengan bajet yang ada.  Mungkin akan ada yang pitam sementara menunggu tarikh keramat untuk kembali ber-uang semula. Oleh yang demikian, sesungguhnya lah, tanpa perancangan kewangan yang sewajarnya, ini lah dia rentetan senario yang akan mengganggu  kehidupan kita setiap kali apabila saja musim perayaan hampir tiba.
Bagaimana untuk mengatasinya?  Ini lah persoalan berat yang harus kita fikirkan bersama.  Banyak sumber yang boleh kita baca dan rujuk untuk mengatasi segala permasaalahan ini. Diantaranya:
Pertama, Ketepikan dahulu bajet selepas raya.  Sepertimana yang telah penulis bincangkan di atas tadi, sepatutnya segala belanjawan bagi bil-bil dan bayaran utiliti lainnya tidak diusik sama sekali sebelum dan ketika hari raya. Ini membolehkan anda menarik nafas lega apabila saja tiba masa untuk membayarnya.
Kedua, Gunakan bajet sebelum raya sahaja. Ini lah yang sebaik-baiknya. Apakala sudah diperincikan secara lengkap dan sudah dianggarkan berapakah jumlah yang diperlukan untuk perbelanjaan berbangkit kegunaan raya, maka gunakan setakat itu sahaja. Elakkan daripada terlebih bajet.
Ketiga, Jika mahu menggunakan kad kredit pastikan guna selepas tarikh billing date nya. Ini akan dapat membantu anda menganjak bayaran untuk lebih lewat lebih kurang satu bulan lagi sekurang kurangnya. Dengan ada nya masa yang panjang ini, mungkin anda boleh mencari sumber kewangan lain bagi menampung kekurangan yang ada. Hutang kad kredit jangan di biarkan lama tertunggak hingga kadar faedah terkumpul. Lebih lama anda menangguhnya, maka akan lebih banyak kadar faedah yang dikenakan. Ini tentunya  menambah perit masalah kewangan anda kelak.
Keempat, Jika ada tabungan gunakan hanya sedikit sahaja kerana mungkin ada perkara lain yang lebih utama.  Biasakan diri anda untuk tidak menggunakan wang yang ditabung.  Ini adalah kerana malang tidak berbau dansecara analoginya, anda perlu sentiasa menyediakan payong sebelum hujan tiba.
Kelima,  Jangan guna kad caj . Ini amat merbahaya. Sepertimana di ketahui ramai. Kad caj seperti American Express dan JCB atau Diners Club memerlukan penggunanya untuk membayar jumlah penuh sepertimana yang telah dibelanjakan terdahulu. Oleh yang demikian, jika anda ingin mengawal bajet anda dengan lebih baik, hindarkanlah dari memiliki kad caj ini apatah lagi untuk menggunakannya.
Keenam,  Berbelanjalah secara berhemah. Anda wajar berfikir setiap kali hendak membelanjakan wang untuk sesuatu perkara. Elak membeli barang yang tidak perlu atau jangan bermewah-mewahan tanpa sebab. Senaraikan barang keperluan yang ingin dibeli.  Letakkan dalam bajet jumlah barangan yang dikehendaki . Lakukan penelitian premis yang hendak dikunjungi untuk lebih berjimat.  Cari kedai yang memberikan diskaun terbanyak.  Atau sekurang-kurang nya ada dapat mengumpul mata kad loyalty untuk mendapatkan  barangan lain percuma  atau baucer nilaian wang tunai di kemudian hari.  Usah lah  berbelanja ketika perut lapar atau di ketika poket sedang kembong kerana ini akan mendorong kita berbelanja lebih. Biasakan mengeluarkan wang sedikit demi sedikit daripada akaun. Bukan dengan keluaran sekaligus setiap kali apabila mendapat gaji.
Belilah  barangan keperluan secukupnya dan elakkan pembaziran. Pastikan barang yang dibeli mempunyai nilai yang berpatutan.  Elakkan  membeli barang diimport sedangkan ada barangan buatan tempatan yang memiliki kualiti yang sama. Utamakan pembayaran hutang walaupun dalam keadaan terdesak. Hutang bertampuk menambah kekusutan ekonomi anda. Apatah lagi apabila musim perayaan tiba.
Kurangkan penggunaan telefon bimbit dan internet jika anda mampu lakukan. Penting juga untuk anda mengurangkan penggunaan telefon atau internet yang dicaj mengikut kadar guna. Anda harus tentukan penggunaan yang perlu serta yang tidak penting. Sebab itulah ada baiknya anda melanggan perkhidmatan yang membolehkan anda berjimat. Disamping itu,kurangkan aktiviti riadah bersama teman seperti mengunjungi pusat hiburan karaoke atau melepak tanpa tujuan.  Mungkin pada waktu kesempitan wang begini, anda juga boleh menangguhkan sementara perbelanjaan aktiviti riadah seperti bayaran gimnasium, yuran bulanan kelab rekreasi dan sebagainya. Anda boleh menyambungnya semula apabila keadaan sudah mengizinkan. Jangan lupa jimatkanlah  penggunaan tenaga elektrik dan air di rumah anda. Sekurang-kurangnya, jumlah tanggungan bil anda dapat diringankan.Mungkin penjimatan yang anda rasa tidak seberapa itu akan dapat membantu anda untuk mengatasi kegawatan ekonomi anda nanti.
Jika anda pemegang insurans, pastikan bayaran bulanan anda di dahulukan berbanding perbelanjaan lain. Ini kerana, sesetengah syarikat insurans akan menamatkan perlindungan insurans jika terdapat tunggakan. Ini agak berisiko kerana anda mungkin tidak memiliki sumber kewangan lain jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Ketujuh, Bayar  yang  besar dahulu. Sekiranya ada jumlah yang besar diantara belanjawan yang anda telah senaraikan. Maka seeloknya, selesaikan lah yang besar itu dahulu sebelum yang lainnya. Walaupun anda agak ‘sesak’ sekarang, tanggungan hutang tidak boleh di ambil ringan. Hadapi hutang anda dengan memberi tumpuan kepada bahagian tertentu dalam perbelanjaan yang boleh anda baiki. Khususnya,  amaun yang besar pastinya mesti di dahulukan .
Kelapan, belajarlah menabung. Simpan sedikit gaji bulanan untuk waktu memerlukan.
Tentukan jumlah wang perlu ada setiap bulan sebagai simpanan waktu sesak. Jika anda belum memulakannya pada hari ini, anda boleh saja memulakan tabiat menabung ini mulai hari esok. Mudah-mudahan di musim perayaan tahun hadapan, wajah anda mungkin lebih berseri daripada menyambut raya pada tahun ini. Tanamkan semangat menabung ini di dalam diri. Biarpun keadaan kewangan anda agak tidak stabil setiap kali selepas hari raya, anda masih perlu menyimpan sedikit daripada pendapatan yang diterima.
Kesembilan, mulakan diari kewangan anda sendiri. Keluarkan semua penyata bank, resit pembelian dan bil-bil berkaitan serta belajar menyemak perjalanan keluar masuk wang anda setiap bulan. Apabila anda mempunyai rekod penggunaan wang,maka akan  lebih mudah bagi anda mengesan jumlah wang yang sering anda bazirkan. Melihat jumlah wang yang dapat dijimatkan dalam setahun juga dapat mendorong anda meneruskan diet perbelanjaan ini.
Sebagai kesimpulan, barangkali  selepas cuti Aidilfitri, ada antara kita yang tidak berani mahu melihat baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi mungkin tidak akan menyenangkan hati . Sama ada baki wang tidak mencukupi untuk bertahan hingga akhir bulan atau pun mungkin lebih menakutkan,iaitu tiada langsung baki simpanan.

Begitulah impak Aidilfitri yang hadirnya setahun sekali.  Ramai pada mulanya bukan main sakan menyambut Hari Raya penuh bergaya.  Sejak awal bulan puasa lagi hingga berlarutan kepada beberapa minggu pertama Syawal, wang tidak putus-putus keluar dari dalam dompetnya. Pengguna lazimnya dan kebanyakannya  tidak begitu memikirkan soal perancangan kewangan pada musim perayaan. Di sebabkan itulah perbelanjaan menjadi tidak terkawal atau berlebihan pada musim –musim begini.

Oleh kerana wang simpanan yang makin menipis, ramai mula risau akan nasib diri serta memikirkan bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan baki simpanan yang tidak seberapa sen itu.

Tidak hairanlah jika timbulnya jenaka sinis menyindir segelintir orang yang dikatakan terpaksa berpuasa semula selepas Aidilfitri kerana sudah ‘berhabisan’ ketika beraya.

Tidak dinafikan, ramai memilih untuk berpuasa seawal minggu kedua Syawal iaitu selepas kembali bekerja. Golongan ini bukan saja ingin menunaikan puasa sunat tetapi juga kerana keadaan kewangan yang memaksa mereka berbuat demikian. Bagi mereka, baiklah berpuasa sementara menanti  gaji seterusnya.

Jika tidak berpuasa pun, anda sebenarnya boleh berjimat dengan membawa bekalan makanan dari rumah ataupun mengurangkan belanja membeli makanan ketika bekerja. Rasanya, tidak terlalu sukar untuk anda melakukannya kerana kita baru saja selesai menunaikan ibadat berpuasa.

Tetapkan juga tahap mana atau secepat mana anda mahukan kedudukan kewangan anda kembali pulih. Juga tentukan jumlah wang harus ada dalam akaun simpanan anda dalam sesuatu tempoh.
Bila berbuat demikian, anda akan lebih disiplin dalam mengikut perancangan atau ‘diet perbelanjaan’ yang sudah di senaraikan diatas tadi. Jika berdisiplin dalam mengamalkan diet ini, tidak mustahil kedudukan kewangan anda akan kembali stabil setiap kali selepas musim perayaan.

No comments:

Post a Comment