SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

akar umbi pembinaan bangsa Malaysia bermula dari sekolah

Penulis: Syed Mazlan Syed Mat Dom
Tembok kebal perkauman yang utuh terbina harus segera diruntuhkan.  Malaysia sudah 54 tahun merdeka namun, isu pengasingan kaum masih belum terlerai. Senario ini tidak harus dipandang sepi. Kaum yang pelbagai di negara ini, masih mempunyai tahap toleransi, pengorbanan, dan saling mengerti yang belum mantap. Suasana ini sebenarnya kurang sihat untuk kita bersama-sama meniti hari muka yang lebih mencabar.
Selama mana perlindungan rasa tidak berpuas hati dan perasaan cemburu antara kaum dapat bertahan? Itulah yang menjadi persoalan dan igauan. Kita belajar hormat-menghormati antara satu kaum dengan satu kaum yang lain, sudah sekian lama. Tidak mengira bangsa, kita tetap bersikap tolak ansur dan saling memahami. Rakyat negara ini tidak mudah melenting apabila sesuatu isu tentang sesuatu kaum itu timbul. Semua kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum lazimnya ditapis, sebelum disiarkan dalam mana-mana media. Hebatnya negara yang berbilang kaum ini.

Bahasa sebagai Alat Penyatuan
Ledakan pertembungan kaum seperti yang pernah berlaku hampir 40  tahun yang lalu wajarlah dielakkan. Saluran media seperti televisyen, blog dan akhbar pelbagai bahasa harus memainkan peranan besar dalam mengimbangi situasi ini supaya keamanan dan toleransi dapat disemai dan dijaga. Setiap individu, harus terus menjunjung tinggi perlembagaan negara dan rukun negara. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan harus dimuliakan, manakala agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini, harus diperakui dan terus dihormati. Bahasa tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan uji kaji. Telah termaktub sekian lama dalam perlembagaan (Akta 152), bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa penghantar dalam sistem pendidikan Malaysia.
Merujuk kepada isi hubungan etnik dalam pendidikan negara, sering timbul isu persekolahan pelbagai kaum sejak pada peringkat rendah. Cina dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), masyarakat India dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), orang Melayu pula lebih tertumpu di Sekolah Kebangsaan (SK) atau sekolah aliran agama. Sistem persekolahan vernakular mengikut kaum, yang dibenarkan oleh pemimpin politik terdahulu sebenarnya telah membawa banyak keburukan daripada kebaikan. Kesannya sudah boleh dilihat pada hari ini. Interaksi merentasi kaum amat kurang, bermula daripada sekolah rendah sehinggalah ke universiti. Sejak anak-anak mengenal alam persekolahan, mereka hanya mengenal kelompok bangsa mereka sahaja. Kesannya, apabila pembelajaran mereka sampai pada peringkat yang lebih tinggi, nasi sudah menjadi bubur, rebung sudah menjadi buluh. Pelajar Melayu, Cina dan India, masing-masing membawa haluan sendiri. Perpaduan nasional yang mantap tampak tinggal hanya fantasi dan begiti sukar untuk direalisasikan.
Generasi muda pada hari ini sepatutnya diajar tentang sejarah Malaysia sejak mereka di bangku sekolah rendah. Mereka wajib didedahkan tentang pembentukan Malaysia, tentang raja-raja Melayu, tentang kewujudan Tanah Melayu dan Malaya, dan berbagai-bagai lagi fakta sejarah yang harus mereka ketahui. Mereka juga perlu mengenali budaya kaum lain sejak kecil. Ini amat penting kerana generasi pelapis inilah yang akan membentuk generasi Malaysia baharu pada masa akan datang.
Cuba kita renung dan analisis masalah dalam sistem pendidikan kita. Sebenarnya, tiada tolak ansur daripada bangsa lain untuk menyeragamkan sistem pendidikan ini, walhal inilah sistem yang paling asas bagi membentuk kemantapan generasi yang akan datang. Sistem persekolahan satu bahasa yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar sebenarnya satu aspek yang amat sempurna, kerana bahasa itulah yang berupaya menjadi bahasa penyatuan kaum dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia. Bahasa kebangsaan itulah yang berupaya menjadi wadah penyatuan pelbagai bangsa.
Bangsa-bangsa selain Melayu sewajarnya digesa mendalami bahasa kebangsaan agar mereka boleh berbangga jika dapat menguasai bahasa kebangsaan. Setakat hari ini, hanya sekoleh kebangsaan sahaja menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar baik dalam urusan rasmi sekolah atau sebaliknya. Bangsa lain perlu lebih bertoleransi. Belajarlah untuk menghargai pengorbanan orang lain. Belajarlah untuk memahami dan menghormati sejarah. Bagi mereka yang tidak memahami sejarah dan tidak pernah mahu mempelajari sejarah, cubalah mendekatkan diri dengan sejarah, terutama sejarah pembinaan negara bangsa ini. Sejarah merupakan fakta dan sejarah tidak pernah berbohong.
Senario hari ini, masyarakat suka mempolitikkan sesuatu perkara. Akibatnya, semua perkara menjadi mainan politik sekalipun bukan oleh pengamal politik. Politik hanyalah satu modus operandi untuk kita melalui dan membina tatacara kehidupan. Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya alpa, terpengaruh atau lalai kerana mainan politik. Dalam suasana masyarakat majmuk sebegini, kita perlu lebih banyak belajar untuk saling memahami dan membuat keputusan yang boleh mendatangkan situasi menang – menang.
Sekolah vernakcular atau sekolah mengikut kaum tertentu perlu dikurangkan atau ditiadakan langsung, kerana penyatuan kaum tidak akan dapat dicapai jika keadaan ini berterusan. Tahap kefasihan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan juga tidak dapat diukur jika sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil masih dibina berasing-asingan seperti keadaan sekarang. Malahan, mereka dijamin menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan dengan pihak-pihak tertentu sahaja. Keputusan peperiksaan pula bukan kayu ukur dalam mengenal pasti tahap kefasihan mereka berbahasa kebangsaan tanpa lenggok bahasa ibunda masing-masing. Namun, perkara ini tidak mungkin boleh ditamatkan dengan serta-merta. Bahasa Kebangsaan mesti menjadi bahasa penghantar. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah kaedah yang boleh dimanfaatkan untuk seseorang pelajar itu fasih berbahasa Inggeris, sebaliknya mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri wajar dimantapkan dari segi kandungan dan alat bantuan mengajar yang lain.
Sistem Pendidikan
Satu lagi idea yang sangat baik ialah tentang sekolah wawasan atau sekolah integrasi. Idea ini juga sangat bernas dan perlu diberi galakan. Membina tiga jenis sekolah iaitu SJKC, SJKT dan SK di dalam satu pagar, dan berteduh di bawah satu bumbung mempunyai banyak kelebihannya. Banyak faedah yang boleh diperoleh, dari segi pergaulan, asimilasi kaum dan pengurusan sumber manusia. Malangnya, selepas hampir 15 tahun sekolah ini diperkenalkan, perancangan tersebut bagai hidup segan mati tak mahu.
Banyak prasangka buruk telah ditimbulkan dan sekali gus menenggelamkan segala objektif yang positif. Sekolah wawasan wajar diberi peluang kedua untuk terus beroperasi. Segala permasalahan tentang modus operandinya yang selama ini menjadi bahan bantahan mungkin boleh diperhalusi dan diperbaiki. Semua pihak wajar member komitmen yang tinggi jika mahu mewujudkan generasi baharu malaysia yang boleh bermain dan belajar bersama-sama. Bibit- bibit perpaduan perlu disemai sejak kecil. Ini akan menghindari sikap prejudis antara kaum pada masa akan datang. Demi kelangsungan perpaduan kaum, perhatian wajar diberikan dengan bersungguh-sungguh. Kegagalan melaksanakannya adalah kegagalan bagi kita semua dalam mencapai citia-cita untuk melahirkan generasi baharu yang lebih harmoni dan bersatu padu.
Sistem pendidikan hari ini, memperlihatkan betapa anak-anak Malaysia hanya diberi peluang bercampur gaul dengan kaum-kaum lain apabila mereka tiba pada pendidikan menengah. Itu pun jika mereka tidak cenderung ke sekolah aliran Cina (menengah) atau sekolah aliran agama (Arab). Jika mereka memilih untuk terus ke aliran tersebut, mereka tidak sama sekali akan bercampur dengan kaum lain dalam alam persekolahan. Itu tidak mengambil kira peratusan di dalam kelas. Kebanyakan pelajar Cina lebih berminat dalam aliran Sains manakala pelajar Melayu lebih cenderung ke aliran Sastera. Hanya segelintir pelajar Melayu meneruskan minat dan cabaran dalam aliran Sains. Pengasingan aliran ini juga salah satu punca anak-anak Malaysia mempunyai jurang yang besar dalam penyatuan kaum.
Jika mereka bernasib baik untuk melangkahkan kaki ke menara gading, barulah mereka berpeluang mengenali dan mendekati budaya hidup kaum lain, kerana suasana di kampus yang lebih terbuka. Itu pun, jika mereka pandai bercampur gaul dengan masyarakat berbilang kaum. Jika sebaliknya, pasti mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada kaum lain dengan menyertai persatuan atau kelab yang dikuasai oleh satu-satu kaum.
Sejarah pembentukan Malaysia bukan seperti negara jirannya iaitu Singapura atau Indonesia. Pemerintahan di Malaysia lebih fleksibel dan banyak menggunakan budi bicara dan tolak ansur. Bukan meminta setiap nama orang Cina dan India ditukarkan ke nama Melayu atau dimalaysiakan seperti yang berlaku di Indonesia. Di Indonesia, seperti nama asing wajib ditukar ke nama Indonesia. Seperti Johan Budi Kusuma, bekas jaguh badminton Indonesia dan Goe Ren Fang sebenarnya orang yang sama. Beliau mempunyai nama Cina dan nama Indonesia. Pengorbanan yang minima jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh pasti akan menghasilkan perpaduan kaum yang maksima.
Kesimpulan
Proses asimilasi kaum akan terhasil, jika anak-anak daripada pelbagai bangsa dapat belajar bersama-sama sejak usia muda. Inilah mekanisme yang paling berkesan untuk mengurangkan segala syak wasangka antara kaum. Inilah juga mekanisme yang dapat meninggikan lagi tahap simpan dan selindung prasangka antara kaum di Malaysia.
Sesungguhnya menyediakan satu generasi baharu Malaysia yang boleh bersatu padu dan bekerjasama tanpa sempadan kaum merupakan tugas yang perlu kita pikul bersama-sama. Semua pihak terutama pimpinan daripada pelbagai bangsa perlu duduk semeja dan bermusyawarah bagi merealisasikan gagasan ini. Jika hal ini tidak dapat dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi, dan jika semangat kecinaan dan keindiaan masih menebal, lama-kelamaan pembentukan generasi pelapis yang mesra bangsa akan gagal direalisasikan.
Sesungguhnya, proses memalaysiakan rakyat harus bermula daripada idea sekolah wawasan dan sistem sekolah satu bahasa. Menyediakan generasi muda ini dengan sistem pendidikan yang merentasi kaum sebegini akan dapat menyiapkan mereka untuk membanteras prasangka kaum daripada minda dan jiwa mereka buat selama-lamanya. Semoga masa depan generasi muda ini tidak disalah warna.

No comments:

Post a Comment