'Kedai Rakyat 1 Malaysia', adalah merupakan sebuah kedai
yang berkonsepkan pasar mini yang menjual pelbagai barangan keperluan asas
dengan harga yang rendah. Inisiatif ini lahir dari YAB Perdana Menteri
Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak diatas keperihatinan beliau untuk
meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar.
Ini juga bertepatan dengan slogan “Rakyat Didahulukan” yang telah diilhamkan
oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Penubuhan ‘Kedai Rakyat 1 Malaysia’ ini juga diharap dapat
mengawal kenaikan harga barangan runcit sewenang-wenangnya yang selama ini
telah didominasi oleh syarikat pengeluar antarabangsa.
Perbezaan Kedai Rakyat 1 Malaysia dengan kedai – kedai
runcit yang lain adalah, barangan keperluan asas seperti beras, minyak, susu
tepung, lampin pakai buang dan banyak lagi dipek dengan jenama “Kedai Rakyat 1
Malaysia”. Setakat ini, terdapat sebanyak 250 jenis barangan yang telah
dijenamakan dengan jenama ini dan ianya akan bertambah dari masa ke semasa.
Antara kelainan yang turut terdapat di Kedai Rakyat 1
Malaysia ini adalah menjual pelbagai barangan yang telah dibungkus semula dalam
kuantiti yang lebih kecil dan sedikit bagi membolehkan pengguna yang berpendapatan
rendah masih dapat membeli barangan tersebut berdasarkan pada kemampuan dan
keperluan mereka. Antara barangan yang telah dipek semula adalah beras 1kg ,
serbuk kari 100gm dan lampin pakai buang dipek dalam kuantiti yang kecil.
Keutamaan penjenamaan produk di bawah jenama “Kedai Rakyat 1
Malaysia” ini diberikan kepada barangan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana
(PKS). Selain daripada membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga rendah,
ini juga secara tidak langsung dapat membantu para pengusaha PKS untuk
memajukan serta meningkatkan hasil jualan produk keluaran mereka dan seterusnya
membantu mereka untuk bersaing di pasaran runcit yang lebih moden.
Lokasi Kedai Rakyat 1 Malaysia yang pertama ini terletak di
stesen LRT Kelana Jaya dan beroperasi bermula dari jam 7pagi sehingga 11malam.
Manakala, MYDIN pula diamanahkan untuk menjalankan operasi
kedai tersebut bermula daripada kerja-kerja pengubahsuaian kedai, membekal
barangan, susun atur barangan di dalam kedai, melatih serta menyediakan kakitangan
dan juga mentadbir urus sistem ‘Point of Sales’ (POS). Kedai Rakyat 1 Malaysia
ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu bulan termasuk kerja pengubahsuaian
kedai serta susun atur dan hiasan dalaman. Ini juga merupakan program
tangunggjawab sosial MYDIN untuk masyarakat setempat.
Kami berharap projek usahasama antara Kerajaan dan MYDIN ini
dapat membantu serta memberi faedah kepada semua pihak dalam usaha meringankan
beban rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment