SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

Terap budaya kunjung-mengunjung

ARKIB : Utusan Malaysia 03/10/2008

 Oleh SYED MAZLAN SYED MAT DOM
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan tahunan yang diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi menyambut kedatangan bulan Syawal dan menandakan berakhirnya bulan Ramadan. Ia juga bermakna telah selamat umat Islam menjalani ibadat puasa selama sebulan.
Bagaimana pula dengan sambutannya? Inilah yang menjadi kerisauan. Corak sambutan semenjak beberapa generasi selepas merdeka semakin menunjukkan arah aliran yang tidak begitu menyenangkan mata yang memandang. Amalan tradisi sudah semakin pupus. Apakah generasi hari ini benar -benar menghayati erti kata sambutan Syawal?
Jika mahu dijelmakan semula senario dahulu, memang ketara amat berbeza sekali dengan anak-anak di zaman ini dalam cara mereka menyambut kedatangan Syawal yang mulia. Jika dahulu, seawal jam 6.30 pagi lagi anak-anak kecil sudah dikejutkan dari tidur. Seawal pagi itu juga mereka akan menyiapkan diri berpakaian yang indah-indah, bersarapan dan kemudiannya menuju ke masjid bersama ayah bonda.
Selesai sembahyang sunat hari raya, anak- anak akan turut mengikuti ibu bapanya menjengah ke rumah jiran tetangga di sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Pada waktu ini, akan saling kenal mengenali beberapa generasi yang ada di kalangan tetangga. Malah mungkin berjumpa si perantau yang pulang ke desa.
Perjalanan diteruskan pula menuju ke pusara yang selalunya terletak di penghujung desa. Hakikatnya, yang telah tiada tidak harus dilupa. Ibu bapa menerangkan satu persatu pusara yang ini milik siapa dan pusara yang itu milik siapa. Sehingga ke beberapa generasi terkemudian pun, kita tidak akan terlupa milik siapa dan di mana pusara dan kita menyambung memperkenalkan pula kepada generasi yang muda. Ini pusara moyang kamu. Ini pusara tok nek kamu. Al-Fatihah dan surah Yassin hafal di mulut. Baik yang tua mahu pun yang muda.
Dari tanah perkuburan, barulah kembali ke rumah. Kemudian apabila sampai di rumah, anak-anak berkumpul untuk sesi mohon maaf.
Hanya selepas itu, barulah anak -anak ini bebas berkumpul beramai-ramai sesama rakan taulan yang sebaya dan mula bergerak berkumpulan dari rumah ke rumah menziarahi sahabat handai. Niat di dalam hati pada waktu itu bukanlah untuk mengumpul duit raya tetapi itulah budaya kunjung mengunjungi yang telah berjaya diserapkan ke dalam diri mereka oleh kedua ibu dan bapa. Jika dapat pun duit raya sekupang dua; alhamdulillah; bersungut hati tidak sama sekali. Jauh sekali dari mengumpat keji itu dan ini.
Setelah selesai bersama sahabat, kembali saja ke rumah jadual seterusnya sudah menunggu. Kali ini perlu bersama ayah bonda dan matlamat yang dituju adalah rumah saudara mara. Oleh kerana di waktu itu, kenderaan persendirian tidak semewah hari ini maka hanya saudara mara yang dekat sahaja yang dikunjungi. Berbekalkan basikal tua budaya mulia di hari raya terus digilap si anak, ibu dan bapa.
Menghormati
Pendek kata, hari raya yang pertama jadualnya penuh tidak terkata. Keluar subuh baliknya senja. Sampai ke rumah badan lemah longlai sampai ada yang terlena di depan tangga. Tak cukup setakat itu, program kunjung mengunjungi diteruskan lagi di Hari Raya yang kedua. Begitulah seterusnya sehingga habis semua saudara mara dilawati dan diziarahi. Yang muda diajar menghormati dan menziarahi yang tua. Yang tua tidak akan bergerak ke mana-mana selagi yang muda tidak sampai ke rumahnya. Begitulah indahnya ikatan kekeluargaan generasi terdahulu.
Tetapi sekarang? Amalan tradisi menyambut Hari Raya ini makin dilupakan. Acara Hari Raya bagi generasi zaman ini adalah pulang ke kampung halaman beberapa hari sebelum hari raya. Berpusu-pusu dan berlumba di jalan raya. Semuanya menuju ke desa. Namun ada juga yang berhati kental bersemangat waja kerana memilih berhari raya bersama beruk dan kera di Zoo Negara. Yang sampai di kampung juga ada agenda yang tersendiri.
Tidak dinafikan masih ramai lagi yang mewarisi amalan tradisi, namun terdapat juga segelintir yang balik kampung memerap diri di hadapan TV. Alasan yang diberi badan penat perjalanan jauh tidak terperi, masa inilah nak berehat menonton TV. Sebab lain pula, sudah tak kenal lagi generasi masa kini. Kawan-kawan sama mengaji kononnya masing-masing sudah membawa diri.
Berhijrah keluar kampung dan mungkin beraya di tempat isteri. Maka melingkarlah seisi keluarga di depan sofa menghadap peti TV. Saling berlawan pula antara stesen yang mana satu dekat di hati, maka berhari-hari seisi famili mengisi Aidilfitri dengan satu agenda baru yang bakal diwarisi dan diteladani oleh anak-anak dan isteri.
Bagi yang memang duduk di kampung, masih ada yang mengekalkan sambutan tradisi, kunjung-mengunjung di Aidilfitri. Maka warga desa inilah yang terkial-kial meneruskan budaya yang semakin malap ini. Sedangkan abang, adik, kakak, anak, menantu dan cucu yang baru pulang dari kota sedap-sedap melingkar bak ular sawa kekenyangan di sofa di rumah sahaja. Inilah budaya baru yang semakin tidak elok dipandang mata.
Kesannya kepada generasi muda dapat dilihat semakin ketara. Anak-anak lebih suka duduk di rumah. Puas dipujuk untuk turut sama menziarahi kaum keluarga, namun pelbagai alasan diberikan. Mereka lebih suka dan lebih rela melepak di kediaman famili sendiri sahaja. Mungkin kerana kebiasaan ini telah diwarisi daripada generasi sebelumnya atau yang lebih parah diajar oleh ibu bapanya.
Pelbagai rancangan menarik disiarkan di kaca TV. Berpuluh stesen berada di hujung jari. Tak kira siapa tetamu yang datang, mata hanya tertumpu ke skrin TV. Ini satu lagi budaya yang menyedihkan di Hari Raya. Hendak bersalaman dengan tetamu pun, puas disuruh baru mereka bangun. Sudahlah diri sendiri tidak berkunjung, saudara mara datang pun tidak diendahkan lagi.
Bagi remaja bandar pula, Hari Raya diisi dengan cara yang lain pula. Aktiviti seperti berkelah, menonton wayang, berjalan di pusat membeli-belah, keluar berpacaran dengan teman lelaki dan wanita atau melawat tempat riadah dan peranginan menjadi pilihan utama. Alangkah sedihnya hati kita bila melihat keadaan yang sebegitu. Sepatutnya Hari Raya adalah hari yang mulia. Sepatutnya hari itu digunakan bagi mengeratkan silaturahim di antara saudara-mara dan umat Islam keseluruhannya. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Seperkara lagi yang menjadi kebimbangan masa kini adalah trend di mana anak-anak kecil dibiarkan berpergian dari rumah ke rumah orang di Hari Raya. Ada yang berjalan berkumpulan sehingga melampaui daerah taman merentasi kampung. Bukan setakat rumah tetangga, malah rumah orang yang tidak dikenali pun dikunjungi mereka. Berlumbalah sesama mereka, siapa yang dapat mengumpul lebih banyak wang di Hari Raya yang mulia. Sesi kira-mengira berlaku di pondok menunggu bas di tepi jalan raya. Ini satu lagi fenomena buruk dalam masyarakat kita.
Kita membiarkan generasi pelapis kita kemaruk dengan wang dan harta. Berkunjung bukan untuk mengenali saudara mara, tetapi sekadar nak belajar meminta-minta. Maka tidak hairan apabila umur beransur remaja, minat berkunjung hilang serta-merta. Kerana pada waktu itu potensi untuk mendapat wang raya sudah tiada. Lantaran umur yang sudah hampir mencecah dewasa.
Kebiasaan ini jika dibiarkan akan menjadi tingkah laku. Tingkah laku yang kurang baik ini seterusnya akan menjadi ikutan. Apabila terus dibiarkan maka ikut-ikutan akan menjadi satu fahaman. Fahaman ini akan terbentuk menjadi gaya hidup. Dan gaya hidup ini akan berkekalan menjadi sikap. Maka apabila sudah menjadi sikap yang sebati dalam diri maka sukar ia untuk diubah lagi. Oleh itu, kepada ibu bapa hari ini, bersamalah kita berusaha untuk membendung sikap dan budaya buruk ini agar ia tidak terus menghantui. Agar tidak terus di warisi daripada satu generasi ke satu generasi lagi.
Bagi yang sudah beranak pinak, bercucu dan bercicit, anda boleh memainkan peranan daripada sekarang. Berilah penerangan kepada jagaan anda tentang kebesaran Aidilfitri. Terangkan kepada generasi baru ini bahawa amalan kunjungi mengunjungi adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Maaf bermaafan untuk saling melupakan kesalahan silam amat dituntut.
Generasi baru perlu diingatkan untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam. Apatah lagi ikatan sesama saudara mara handai dan taulan, sahabat dan rakan. Hari Raya juga merupakan hari sambutan kejayaan kita beribadah kepada Allah dengan berpuasa selama sebulan. Tentu sekali ia dapat menyuntik semangat Hari Raya dalam diri anak-anak muda kita.
Sebagai ayah bonda, tugas kita mendidik anak-anak tidak akan terhenti hanya kerana mereka sudah dewasa. Kita masih berhak untuk menegur dan membimbing mereka. Mereka adalah cermin kepada diri kita. Didiklah anak -anak kita untuk merayakan Hari Raya dengan cara yang lebih bermanfaat. Bimbinglah mereka untuk menghargai semangat kekeluargaan sementara kita masih ada. Sementara kita masih boleh berbicara.
Sekalipun pun mereka sudah dewasa, hatta sudah berada di IPTS atau IPTA, namun masih belum terlambat untuk memupuk suasana menyambut hari raya yang sebenarnya kepada mereka. Pujuk anak untuk mengikuti anda berkunjung ke rumah saudara mara. Gunakan kuasa veto anda sebagai ibu bapa di mana perlu sekiranya terpaksa. Galakkan anak berkunjung ke rumah kawan-kawan dan guru-gurunya. Anda juga harus menunjukkan contoh yang baik dalam soal ini. Biarpun hanya setahun sekali. tak banyak sedikit pasti akan mempengaruhi. Usah biarkan ia lenyap ditelan zaman.

No comments:

Post a Comment