SPONSORED ADVERTISEMENT

Thursday 21 June 2012

Tiada Jalan Pintas Bina Jenama Diri


11 Disember 2008 : Berita Harian

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Artis perlu lebih utamakan aspek penjenamaan jika mahu kekal dalam industri hiburan

SUKAR menidakkan peri penting penjenamaan untuk membangunkan industri hiburan supaya tampil kompetitif dan meyakinkan terutama ketika penggiat seni tempatan sedang berdepan tentangan luar untuk terus memperkasa khazanah budaya dan seni negara.

Malangnya aspek berharga itu acap kali kurang dititikberatkan sesetengah pihak, bahkan lantaran terlalu asyik dimomokkan dengan publisiti kosong membuatkan ramai memandang enteng peranan sebenar perlu dimainkan seseorang anak seni.


Hakikatnya penjenamaan memainkan peranan yang cukup besar malah tanpanya juga, hidup seseorang individu itu tidak lengkap kerana kuasa hebat yang dimiliki sesuatu jenama.

Bercakap mengenai penjenamaan, pelakon dan pengacara berkaliber,
Maznah Zolkifli akur akan kepentingan aspek itu terutama dalam memberikan impak serta pengaruh besar kepada kelompok masyarakat.

Berpengalaman 13 tahun sebagai anak seni serta menempuh pelbagai duri dugaan dan cabaran, akui Maznah, sesetengah pihak cuma memikirkan keuntungan jangka pendek tanpa serius merencana pembangunan kualiti sesuatu produk.

Justeru, bukan lagi atmosfera ganjil apabila melihat kebanyakan jenama produk di negara ini diwakili golongan penyanyi kerana mereka mempunyai pengaruh lebih besar, berbanding mereka yang memilih cabang seni lain.

“Maaf cakap, ada sesetengah personaliti gembira melihat wajah mereka terpampang di papan iklan. Cuma itu sedangkan peranan seseorang jurucakap atau duta menjangkau lebih luas kerana mereka mewakili produk itu.

“Umumnya di negara ini, penjenamaan sesuatu produk itu lebih tertumpu kepada wajah dan populariti seseorang personaliti. Itu yang saya nampak selama 13 tahun dalam industri hiburan.

“Saya lihat penjenamaan produk lebih tertumpu kepada populariti terutama penyanyi serta mereka yang lahir daripada program realiti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penjenamaan khusus berkaitan industri hiburan.’

Persoalannya kata Maznah, tidakkah ada agensi atau syarikat pengiklanan yang menyedari perkara itu hingga sanggup mengorbankan falsafah kualiti, personaliti serta portfolio produk semata-mata untuk pantas membina jenama lantaran terlalu tunduk kepada populariti semata-mata?

Katanya, sebagai individu yang bertanggungjawab, agensi pengiklanan seharusnya memainkan peranan mereka dengan berkesan dan tidak seharusnya mengorbankan maruah produk hanya kerana ingin cepat membina nama.

“Mereka seharusnya melakukan kajian secara menyeluruh, menimbang kekuatan serta kualiti yang dimiliki seseorang personaliti sebelum memilih mereka untuk mewakili sesuatu produk.

“Jangan kerana personaliti itu ada nama dan pengaruh, malah populariti mereka juga besar tetapi apabila diserahkan tanggungjawab, mereka tidak mampu menggalas amanah itu dengan baik,” katanya.

Perkara itu kata Maznah, mungkin berlaku disebabkan terlalu mengejar keuntungan namun personaliti juga perlu mengukur kemampuan diri dan tidak menerima tawaran
sekadar untuk memenuhi portfolio.

Katanya, persaingan industri hiburan yang sengit mewujudkan perang harga antara selebriti membuatkan ada pihak tertarik menggunakan khidmat seseorang personaliti kerana tawaran rendah yang diberikan.

“Malangnya apabila perjanjian sudah ditandatangani, mereka tidak mampu membawa tanggungjawab itu dengan baik kerana tidak mempunyai pakej yang dicari.

“Agak mengecewakan kerana sikap mengikut aliran semasa masih menjadi keutamaan di negara ini, membuatkan selebriti yang lebih layak malah mampu memainkan peranan sebagai duta atau jurucakap sesuatu produk dengan baik terpinggir kerana tidak cukup popular,” katanya.

Persepsi masyarakat hanya mahu melihat wajah cantik dan nama popular juga membuatkan pengeluar barangan tidak berani lari atau keluar daripada kebiasaan itu.

Maznah berkata, ketika negara sedang menuju era globalisasi pandangan kolot itu seharusnya sudah berkubur sebaliknya pengiklan perlu berani mengambil inisiatif baru untuk memancing hati pelanggan.

“Mengapa tidak kita mencuba warga Malaysia yang berjaya menempa kejayaan untuk ditampilkan dalam mempromosikan sesuatu jenama? Mengapa orang seperti ini jarang diberi ruang sedangkan kejayaan mereka mampu memberi inspirasi kepada masyarakat?

“Perkara ini perlu ditekankan kerana masyarakat juga melihat kepada penjenamaan berkualiti. Aspek ini masih ketinggalan kerana jika diperhatikan kebanyakan produk terus mengutamakan wajah cantik dan nama popular untuk mendominasi penjenamaan,” katanya.

Duta Belia Negara ini berharap kenyataannya tidak disalah erti, malah langsung tidak menyimpan perasaan iri kerana dilantik menjadi jurucakap atau duta produk adalah rezeki individu.

Cuma kata Maznah, dia ingin melihat atmosfera penjenamaan di negara ini berubah wajah dengan menitikberatkan pelbagai aspek lain yang memenuhi kriteria individu untuk layak digelar duta berwibawa.

Jujur kata Maznah, negara tidak pernah kekurangan anak seni berkaliber malah ada segelintir yang sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

“Cuma tidak ramai yang mampu membawa peranan itu dengan berkesan seperti mana yang dimainkan oleh personaliti luar negara.

“Bukan menidakkan kemampuan bangsa sendiri kerana anak Malaysia juga mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri tetapi agak malang kerana ada di antara mereka gagal memberikan impak serta pengaruh kepada masyarakat kerana tidak mempunyai pakej lengkap untuk bergelar duta atau jurucakap,” katanya.

Ketidakadilan yang berlaku tidak sesekali melunturkan semangat wanita yang sinonim dengan aktiviti lasak ini, malah bersyukur kerana kelebihan yang dimilikinya juga membantunya menyumbang sesuatu kepada pembangunan insan dan negara.

Sama ada sedar atau, Maznah ialah ikon kepada golongan belia malah kejayaannya juga mencuri perhatian produk antarabangsa seperti Louis Vuitton dan SK II memilihnya sebagai wanita beraspirasi di Asia.

Maznah juga antara selebriti tempatan yang menyertai Global Brand Forum Malaysia yang berlangsung di Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, selama dua hari minggu lalu.

Global Brand Forum Malaysia dihadiri kira-kira 1,000 delegasi bagi berkongsi ilmu serta pengalaman mengenai penjenamaan dan pemasaran daripada tokoh terkemuka global yang berjaya membangunkan jenama syarikat masing-masing turut disertai pengarah terkenal Hollywood, Oliver Stone; aktres Bollywood, Mallika Sherawat; bekas Pegawai Pemasaran Global Procter & Gamble (P&G), Jim Stengel dan pakar penjenamaan, Martin Lindstrom.

Sementara itu, pelakon muda,
Iqram Dinzly pula berkata, selepas lebih tiga tahun menyertai dunia seni dia akur akan kepentingan mempunyai jenama atau identiti sendiri untuk mencipta laluan positif dalam bidang hiburan.

Katanya, dalam situasi di mana kebanjiran ramai bakat baru yang bersaing secara sihat memberikan cabaran besar kepadanya, malah membuatkan dia positif untuk membina jenama Iqram Dinzly.

Menyertai Global Brand Forum Malaysia katanya, memberinya peluang untuk melihat ke dalam diri serta menambah ilmu dan pengetahuan supaya dapat menembusi industri hiburan dengan lebih berkesan.

“Saya tahu tiada jalan pintas untuk membina jenama sendiri, malah saya sendiri berdepan dengan permulaan yang mencabar ketika mula menapak dalam bidang ini.

“Membina jenama yang dapat membuka mata masyarakat itu menuntut kerja keras dan saya sendiri, hanya dapat membina semua itu selepas lebih setahun setengah berlakon.

“Mungkin dulu orang tertanya siapa Iqram Dinzly, namun selepas membawakan watak antagonis dalam beberapa produksi seperti Dunia Baru dan Bella jenama itu hadir tanpa disangka,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan membina jenama sebagai seorang anak seni, Iqram berkata, dia selesa mengambil langkah bersederhana kerana tidak mahu tersalah langkah dan akhirnya ada jari yang menuding kepada kesalahannya.

“Masyarakat Barat mungkin lebih bebas untuk memilih jalan pantas mahu mencipta jenama namun kita sebagai masyarakat Timur terikat dengan adat dan budaya.

“Aspek itu perlu dititikberatkan kerana setiap kita mempunyai tanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu amanah,” katanya.

Lokasi perhimpunan personaliti dinamik dunia

DIBAWAKAN Media Prima Berhad, Global Brand Forum Malaysia membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk berkongsi pengalaman dan mempelajari pelbagai ilmu penjenemaan daripada duta jenama terbaik dunia.

Forum itu juga memberi inspirasi kepada penggiat bisnes tempatan untuk mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh serta bersaing di peringkat global.

Pengerusi Global Brand Forum, Karthik Siva berkata, forum yang dikenali sebagai Davos of Branding itu membawa objektif untuk melakukan transformasi dan bertindak berdasarkan jenama dan asas perniagaan untuk bertahan kompetitif pada alaf 21.

“Forum ini juga membantu menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik dengan menghimpunkan individu dinamik pelbagai cabang yang turut dikenali sebagai duta perniagaan dan pelaburan.

“Berdasarkan pengalaman, Global Brand Forum Malaysia membantu masyarakat negara ini untuk memahami kepentingan pembinaan jenama itu adalah satu pelaburan yang menguntungkan,” katanya

No comments:

Post a Comment