SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

Syor had kelajuan minimum di lebuh raya

BERITA HARIAN
2010/09/22

JUMLAH kemalangan maut dalam Ops Sikap ke-22 yang berakhir Jumaat lalu berkurangan sebanyak 9.5 peratus atau 23 kes berbanding Ops Sikap ke-21 dan ke-20.

Semua statistik dipamerkan dapat mencerminkan senario sebenar keadaan yang berlaku di seluruh sistem jalan raya dan lebuh raya negara kita di sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang baru lalu. Jika kita mengambil kira sejumlah hampir sembilan juta kenderaan berada di jalan raya seluruh negara pada ketika itu berbanding tiga juta pada hari biasa, maka pencapaian angka penurunan kemalangan ini memang boleh kita banggakan.
Turunnya kadar kemalangan ini boleh dikaitkan dengan perubahan sikap sebahagian pengguna yang memilih untuk memandu secara lebih berhemah. Di samping itu, sikap orang ramai yang tidak terlalu teruja untuk cepat sampai ke destinasi atau kampung masing-masing mungkin memainkan peranan penting pada Ops Sikap kali ini.
Namun, untuk penambahbaikan secara berterusan pada masa akan datang di mana ada ruang, had kelajuan minimum mungkin boleh diperkenalkan. Ia boleh membantu bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Jika dikira secara matematik, setiap kenderaan memasuki lebuh raya mempunyai had kelajuan minimum, akan keluar daripada sistem itu dalam jangka masa tertentu dan ini tentunya akan menghindarkan kesesakan lalu lintas berbanding dengan sistem lebuh raya yang membenarkan pemandu berbilang tahap kelajuan menggunakannya.

Sebagai contohnya, jika ada pemandu yang berkelajuan 110 kilometer (km) sejam dan ada pula yang memandu berkelajuan antara 30 dan 50 km sejam di lebuh raya, maka penyuraian sistem trafik dalam sistem lebuh raya kita akan terencat dan menjadi tidak sempurna.

Walaupun keadaan lebuh raya semakin bertambah cantik dan kemas dan dibina dengan kos berbilion ringgit, namun objektif asas pembinaannya dulu iaitu untuk menyegerakan perhubungan masih belum tercapai. Ia akan menjadi satu pelaburan yang membazir.
Seiringan dengan cadangan itu, saya berpandangan kempen ikut kiri jika tidak memotong perlu diperhebatkan lagi melalui media massa. Perlakuan memandu bersantai di lorong kanan atau tengah lebuh raya nampaknya sudah menjadi satu hobi baru atau kemestian bagi masyarakat Malaysia.

Mereka seakan mementingkan diri sendiri dengan mengambil jalan mudah untuk tidak perlu menukar lorong di sepanjang ratusan kilometer pemanduan menuju destinasi. Sedangkan lorong paling kiri dibiarkan kosong berkilometer jaraknya. Untuk lebih memburukkan lagi keadaan, mereka ini memandu jauh di bawah tahap kelajuan pemanduan lebuh raya dibenarkan pihak berwajib.

Berdasarkan pengalaman penulis memandu di luar negara terutama Eropah, kadar kompaun dikenakan di negara berkenaan atas kesalahan road hogging ini adalah sama dengan kadar kesalahan pemanduan melebihi had laju.

Kelajuan tidak selalunya membunuh, tetapi pemanduan tidak berhemah dan mementingkan diri sendiri adalah punca utama mengakibatkan kemalangan berlaku.


SYED MAZLAN SYED MAT DOM,

No comments:

Post a Comment