SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

Ibu bapa, guru perlu kompromi

Utusan Malaysia
22.10.2002

MASIH menjadi isu hangat ketika ini mengenai keterlaluan guru mendisiplinkan murid. Memang diakui beberapa guru agak terlebih dalam usaha untuk memberikan pengajaran supaya pelajar jagaan mereka tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan.
Tetapi janganlah sampai kita melabelkan guru sebagai pendera. Jika adapun, mungkin satu dalam seribu yang bersifat dan bernaluri sedemikian.
Apa yang dilakukan guru tidak perlu kita melenting sampai ke langit. Biasanya ucapan orang tua kepada guru zaman dahulu: “Anak saya ini cikgu, saya hantarkan ke sekolah, tunjuk ajarlah dia sebagaimana patut. Pukullah dia kalau perlu, asal jangan sampai patah, asal jangan sampai berdarah.” Inilah amanah ibu bapa yang diberikan kepada guru.
Jadi jika setakat ditampar, dicubit dan direndam, saya rasa belum sampai ke tahap maksimum sepertimana amanah orang kita dahulu. Perlakuan yang dikenakan juga bukanlah ‘kasar’. Mungkin tamparnya tak sampai lebam, cubitnya tak sampai tertanggal daging, manakala rendamnya pula tidaklah di kolam yang sebusuk najis. Ini kerana guru itu juga berperikemanusiaan.
Mereka tahu apa yang mereka buat. Mereka berpelajaran, juga punya anak-anak yang sebaya dengan anak didik yang didenda itu. Pastinya mereka melakukan itu untuk tujuan mengajar. Bukan untuk membalas dendam ataupun sesuka hati untuk melepaskan geram.
Semuanya mempunyai sebab. Tidak ada yang tidak bersebab. Mulut celupar berkata lucah, tidak membuat kerja sekolah yang sudah berlarutan, mengejek guru, meniru perlakuan guru, memperlekehkan guru, mencalar kereta guru, mengajak guru bertumbuk dan bermacam lagi perlakuan adalah antara sebab mereka diberikan tindakan spontan sedemikian oleh guru berkenaan.
Sememangnya pelajar sekolah kini boleh dikategorikan lembik. Tidak boleh disentuh sedikit pun. Jika tidak cukup aduan kepada ketua kampung, dia akan mengadu kepada ibu bapanya, dia akan mengadu kepada media massa. Kesalahan orang digembar-gemburkan tetapi kesalahan sendiri dinafikan bermati-matian. Laporan polis dibuat di sana sini.
Kita hantar mereka ke sekolah untuk diberikan pengetahuan. Daripada tidak mengenal A, B, C sampailah mereka tahu membaca. Besar sekali jasa guru. Jangan sekali kita lupakan itu. Sepanjang perjalanan ke alam remaja, sewaktu di sekolah mereka terus dididik dan diajar bermacam perkara. Diajar supaya boleh bekerja berkumpulan. Mereka dibentuk supaya menjadi insan yang tahu menghormati orang lain. Menghormati rakan taulan, menghormati ayah bonda, menghormati pemimpin negara dan yang paling penting menghormati semua gurunya. Sepatutnya dia perlu meminta dihalalkan segala tunjuk ajar yang telah diberikan kepadanya oleh setiap guru. Insan beginilah yang kita mahu.
Kita tidak mahu ada pelajar universiti yang mahu menyaman pensyarahnya hanya kerana kedatangan dia ditandakan kosong kerana lewat hadir ke kuliah. Kita tidak mahu pelajar universiti yang hanya berkeputusan cemerlang, tetapi dari segi insaniah dan tingkah laku dia ibarat telur tembelang. Mengapa perkara ini terjadi?
Jawapannya mudah. Kerana semenjak kecil, dia tidak boleh dijentik. Apatah lagi untuk ditampar, dipukul. Ini menjadikan ramai pelajar dan remaja sekarang bersikap biadab dan tidak tahu menghormati manusia lain.
Bukan salah mereka. Tetapi kita yang bersalah.
Salah kita yang tidak ada kesempatan untuk mendidik mereka lantaran kesibukan dengan kerja seharian di pejabat. Salah kita yang terlalu memanjakan mereka sampaikan langsung tidak boleh ditegur.
Di pihak guru pula, mungkin boleh diberikan laporan awal kepada ibu bapa apabila sahaja kecelaruan perlakuan anak murid mula dikesan. PIBG boleh digunakan untuk menyampaikan hasrat itu.
Janganlah semasa keputusan yang baik dalam peperiksaan, jasa guru diingati dan disanjungi. Tetapi apabila terjadi sesuatu yang kurang elok, habis semua belanga guru diterbalikkan. Seolah-olah mereka ini langsung tidak punya perikemanusiaan.
Berilah sedikit kompromi kerana guru orang yang boleh dipertanggungjawabkan bagi membentuk peribadi anak-anak kita. Hanya kompromi daripada ibu bapa dan etika yang baik di kalangan guru akan dapat menyelesaikan kemelut ini secara aman.
– SYED MAZLAN SYED MAT DOM,
Arau, Perlis.

No comments:

Post a Comment