SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

Hayati makna sebenar Ops Sikap

ARKIB : 22/01/2009 Utusan Malaysia

Oleh SYED MAZLAN SYED MAT DOM

 

PADA hujung minggu ini, bermula dari petang Khamis bagi sesetengah negeri dan petang Jumaat bagi negeri-negeri yang lain, dijangkakan lebih dua juta kenderaan akan berada di atas jalan raya.
Jutaan rakyat akan bertali arus menyelusuri jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bersempena dengan cuti panjang sambutan Tahun Baru Cina yang akan berlanjutan sehingga Selasa hadapan.
Bukan setakat rakyat kaum Cina sahaja yang pulang bertemu sanak saudara malah semua kaum lain juga akan turut sama menyesakkan jalan raya kerana mengambil kesempatan daripada cuti panjang tersebut.
Ops Sikap sudah pun dilancarkan dengan rasmi beberapa hari lalu di Johor Bahru. Khabarnya hampir 5,000 anggota polis akan bertugas di 334 tempat strategik di seluruh negara bagi mengawal pergerakan lalu lintas dan mengesan mereka yang mencabuli undang-undang jalan raya. Ops ini di jadualkan akan berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2009.
Dan jika melihat kembali statistik yang lalu iaitu pada operasi Ops Sikap XVII yang dilakukan semasa cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri Oktober 2008, ia mencatat sebanyak 208 kematian. Pada Ops Sikap XIX tidak diketahui berapa pula bilangan kematian apabila Ops ini melabuhkan tirai pada 2 Februari?
Siapakah lagi yang akan menjadi mangsanya? Cuma yang pasti semua warganegara Malaysia yang ada harus dan perlu terus berhati-hati supaya di awal tahun baru 2009 ini tidak akan bertambah lagi bilangan kesedihan ini.
Bagaimana kita boleh mengurangkan bilangan statistik yang mendukacitakan ini? Rasanya jawapan sebenar ada di dalam diri kita sendiri. Yang diinginkan adalah perubahan sikap sepenuhnya daripada pemandu Malaysia tidak mengira bangsa dan agama.
Perubahan sikap yang ketara ini amat perlu memandangkan selain dari masalah berkaitan teknikal kenderaan yang boleh menyebabkan kemalangan. Faktor sikap juga memainkan peranan yang maha penting.
Sikap ini sebenarnya sukar untuk diubah dalam sekelip mata. Ia bermula daripada perbuatan. Perbuatan yang sering dibuat berulang kali akan menjadi satu kebiasaan.
Oleh yang demikian, amat sukar untuk merubah sikap pemandu Malaysia jika ia sendiri tidak mahu mengubah segala perbuatan, kebiasaan dan perlakuannya ketika berada di jalan raya.
Kepada pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori, jangan menganggap anda raja di jalan raya. Jangan memandu tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Buang sikap 'lepas kepala lepaslah ekor' atau beri saja signal terus sahaja berubah haluan.
Fikirlah akan keselamatan kenderaan lain yang sedang meluru laju dari arah belakang. Meskipun kebiasaannya anda adalah pihak yang tidak mengalami cacat cela, tetapi kadangkala anda juga boleh berada dalam senarai mangsa sekiranya nasib tidak menyebelahi anda atau ketika anda lalai dan alpa di jalan raya.
Bagi yang berkereta pula, patuhilah undang-undang dan tatasusila ketika memandu. Elakkan dari menjadi road hoggers. Jika ingin memandu secara santai dan mahu menjeling pemandangan di sekeliling, pilihlah untuk berada di lorong tengah atau paling kiri. Jangan pula berada di lorong ketiga dan menjadi penghalang kepada lalu lintas yang lain.
Bagi yang suka memandu laju, pilih tempat yang sesuai untuk berbuat demikian. Fahami bahawa jalan raya bukan tempat untuk berlumba. Hatta dari segi teknikal juga ia tidak selamat untuk memandu kenderaan dengan kelajuan yang tinggi berbanding di Litar Sepang atau Litar Pasir Gudang. Ingat bahawa kelajuan boleh membunuh.
Seperkara lagi, seperti mana yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, pakai tali pinggang di bangku belakang kereta anda. Kepada sesiapa yang belum memasangnya, pelaburan RM400 bukan mahal jika dibandingkan dengan pertaruhan nyawa ahli keluarga anda yang tersayang yang duduk di belakang.
Untuk yang bermotosikal pula, ingatlah statistik mangsa kemalangan yang paling ramai adalah kalangan golongan ini. Sudah 18 kali Ops Sikap berlalu, anda pemenang utama kategori berita sedih ini.
Oleh kerana itu, pada musim cuti Tahun Baru Cina ini, tingkatkan lagi keselamatan diri dengan lebih berhati-hati. Jangan cilok sesuka hati. Jangan harapkan orang lain untuk menjaga keselamatan anda. Anda yang perlu menjaga diri sendiri.
Bagi pejalan kaki, pada waktu kenderaan banyak dan sesak sebegini, berhati-hatilah ketika berada dan melintasi sama ada di jalan Persekutuan mahupun di jalan perbandaran.
Pakailah pakaian yang berwarna cerah dan memberikan pembalikan cahaya ketika berjalan di waktu malam. Sesungguhnya ini akan dapat menghindarkan anda daripada turut tersenarai sebagai mangsa dalam Ops Sikap kali ini.
Bagi penumpang kenderaan awam. Pastikan anda menaiki kenderaan yang berdaftar dan dilesenkan sahaja. Bas sapu, kereta sewa sapu dan teksi sapu yang tidak berpermit harus dihindari demi untuk menjaga keselamatan diri. Kerana, jika apa-apa terjadi, anda sememangnya tidak akan dilindungi oleh sebarang pakej perlindungan insurans.
Bagi penjawat awam yang menjalankan tugas penguatkuasaan pula, jangan lupa untuk lebih berhati-hati ketika berada di tengah kesibukan lalu lintas. Ini kerana, malang tidak berbau. Lagipun bukan semua pemandu tahu dan mahu menghormati segala pengorbanan anda yang sanggup berpanas dan berhujan itu.
Perubahan sikap amat dituntut daripada semua pemandu Malaysia. Anda bukan saja perlu lebih prihatin kepada keselamatan diri malah harus ingat bahawa kealpaan atau kesamsengan di jalan raya mungkin akan membawa padah kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
Oleh itu, bersempena dengan Ops Sikap ini, hayatilah makna sebenar ia dikuatkuasakan. Ia tidak pernah dinamakan sebagai Ops jalan raya , Ops Saman atau sebagainya kerana Ops ini lebih mengarah kepada mahu mendidik dan merubah sikap dan tata cara pemanduan semua pemandu di Malaysia.
Sahutlah rayuan pemimpin negara dan juga gesaan pihak berwajib untuk menjadi pemandu yang lebih berhemah selepas ini.
Semua pengorbanan yang anda lakukan dalam mengubah sikap bukan hanya menguntungkan anda seorang sahaja tetapi manfaatnya akan dapat kita semua rasai bersama. Dengan berkurangnya statistik bilangan kemalangan di musim perayaan Tahun Baru Cina ini akan merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh negara sekiranya ia menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment