SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

Perkukuhkan strategi jana kemenangan BN

ARKIB : 05/10/2009
 Utusan Malaysia

BARISAN Nasional (BN) bakal berdepan dengan pilihan raya kecil sekali lagi. Kali ini di Bagan Pinang - kawasan yang dikatakan kubu kuat parti pemerintah ini.
Namun percaturan di atas kertas dan perjuangan sebenar adalah dua situasi berbeza. BN perlu bertindak bijak sekiranya mahu mempertahankan Bagan Pinang.
Berikut ada beberapa perkara yang rasanya boleh dilakukan oleh BN agar tidak tewas sekali lagi di medan pilihan raya kecil.
Pertama, usah mendabik dada bahawa Bagan Pinang adalah kubu kuat BN. Hati pengundi mungkin berubah sekarang. Oleh itu, jentera parti perlu bekerja lebih kuat. Bekerjalah 25 jam sehari sepanjang musim pilihan raya kecil ini.
Kedua, berikan penerangan paling jelas kepada rakyat mengenai isu berkaitan partiparti komponen BN. Contohnya isu PKFZ dan MIC. Elakkan mereka pendapat penerangan versi pembangkang. Beri penerangan segera kerana setiap detik sangat bermakna.
Ketiga, hentikan projek "mee segera". Ia hanya akan dilihat oleh rakyat sebagai gulagula untuk meraih sokongan.
Gunakan pendekatan yang dipraktikkan oleh pembangkang. Ikut resmi mereka. Ikut strategi mereka. Mainkan isu yang seiras dengan isu pembangkang. Inilah cara terbaik. Amalkan prinsip baru iaitu "undi kami dahulu baru projek menyusul" seperti yang dilakukan oleh pembangkang.
Keempat, pemimpin besar BN perlu menunjukkan rasa rendah diri. Jangan mendabik dada, jangan kerap terlajak kata. Cakap biar berlapik. Jangan biarkan BN kelihatan sombong. Jangan menang atas kertas tetapi kalah di medan juang.
Cara penampilan dan gaya percakapan Tan Sri Mohd Isa Samad ketika memberi kenyataan media pada hari penamaan calon amat sesuai dan harus dikekalkan.
Kelima, awasi pengundi hantu dan undi pos kerana ia juga menjadi strategi dan senjata pembangkang untuk menafikan kemenangan BN.
Keenam, jangan menghentam pembangkang. Gunakan bahasa kiasan. Hentaman terus akan membuatkan rakyat percaya media yang ada milik kerajaan. Akhirnya, mereka akan bersimpati kepada pembangkang.
Ketujuh, hadkan kehadiran pemimpin yang terlibat dengan isu sensitif daripada berada siang dan malam di Bagan Pinang. Pemimpin besar negara juga tidak perlu berkampung di sana. Biarkan sahaja jentera BN negeri dan bahagian bergerak. Mereka ini lebih arif akan kawasan mereka.
Kelapan, galakkan dan beri kuasa autonomi untuk jentera tempatan berusaha meraih undi. Puluhan ribu orang luar yang turut berkempen akan menyesakkan keadaan dan merimaskan penduduk tempatan. Pembangkang pula akan menggambarkan kehadiran orang luar sebagai pengundi hantu.
Kesembilan, BN perlu menjaja kebolehan, keterampilan dan jasa Mohd Isa selama ini. Sediakan jawapan bagi sebarang serangan peribadi. Malah, sekurang-kurangnya gunakan isu "calon helikopter" terhadap pembangkang yang mengemukakan calon bukan asal anak kelahiran Bagan Pinang.
Kesepuluh, elakkan turun ke Bagan Pinang dengan Mercedes Benz, BMW, Jaguar, Alphard atau kereta mewah lain. Gunakan sahaja kereta buatan negara. Itu sudah memadai.
Wujudkan sentimen bahawa kita serupa kepada pengundi di situ. Kawasan berkenaan bukan tempat yang sesuai untuk mempamerkan kekayaan.
Kesebelas, isu perlunya perpaduan Melayu dan getirnya penghinaan terhadap bangsa kita ketika ini perlu disampaikan dengan cara baik. Ini supaya pengundi senang faham perkara sebenar. Perpaduan Melayu amat penting bagi memastikan kelangsungan dan peranan Melayu dalam senario politik negara.
Kedua belas, UMNO yang menerajui BN adalah pembela nasib Melayu. Bukan pembangkang yang sanggup memperjudikan kedudukan Melayu demi mendapatkan kuasa. Kenyataan ini mesti disampaikan dengan cara sebaik mungkin kepada rakyat di Bagan Pinang.
Ketiga belas, jangan terpengaruh dengan provokasi pembangkang. Bermula kelmarin iaitu di hari penamaan calon, pembangkang sudah menggunakan taktik politik ganas. Maki hamun, mencarut dan biadap.
Cara politik gengster ini mereka gunakan sebagai perang psikologi. Ia harus dilayan dengan cara lebih cerdik, berhemah dan berbudaya Melayu dan Timur.
Apa yang disarankan di atas mungkin boleh dijadikan pendekatan bagi menghadapi pilihan raya kecil Bagan Pinang ini.
Sesungguhnya cara-cara yang baru perlu diperhalusi sebagai alternatif untuk menyambut keperluan dan mengisi kehendak persaingan getir politik semasa.
SYED MAZLAN SYED MAT DOM

No comments:

Post a Comment