SPONSORED ADVERTISEMENT

Sunday 17 June 2012

Bahana kemaruk SMS

Oleh SYED MAZLAN SYED MAT DOM
Arkib: Utusan Malaysia 20 / 1/ 2009
KECANGGIHAN teknologi berada di mana-mana. Sesuatu yang dulunya tidak pernah terfikir, kini sudah pun menjadi kenyataan.
Antara yang paling diminati ialah khidmat pesanan ringkas atau SMS. Ia cukup popular. Statistik menunjukkan rakyat Malaysia berbelanja sejumlah RM7 juta sebulan untuk SMS. Ramai yang tidak boleh hidup tanpa SMS. Kita semua jadi gila SMS. Ia banyak kebaikan tetapi jika disalahguna, sistem ini juga membawa keburukan.
Ketagihan SMS yang melampau boleh menyebabkan pengguna menjadi kemaruk dan akan menggunakannya tanpa mengira tempat dan keadaan.
Kita pasti pernah melihat pejalan kaki menaip dan menghantar SMS ketika berjalan. Terdapat juga penunggang motosikal leka dengan SMS ketika di jalan raya.
Pemandu kenderaan juga tidak ketinggalan. Ramai yang sibuk membaca dan membalas SMS ketika memandu.
Paling malang apabila ada pemandu kenderaan yang ada juga kedapatan yang memandu kenderaan besar dan kenderaan awam seperti lori dan bas, tidak terkecuali daripada dirasuk gejala SMS pada masa dan tempat yang salah.
Semua contoh ini sudah cukup untuk membimbangkan kita. Ia menunjukkan satu suasana yang cukup tidak selamat apabila berada di jalan raya.
Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa kerana sikap sesetengah pengguna yang tidak memberi tumpuan kepada perkara sepatutnya iaitu tumpuan kepada pemanduan.
Sehubungan itu pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras penyakit "gila" SMS di kalangan pengguna jalan raya ini.
Kenakan tindakan keras termasuk saman dalam jumlah yang tinggi.
Penyakit ketagih SMS sebenarnya lebih berbahaya jika dibandingkan dengan tabiat bertelefon semasa memandu.
Jika bertelefon semasa memandu, sekurang-kurangnya pandangan mata masih ke depan. Namun jika SMS, sudah pasti tumpuan mata lebih tertumpu kepada telefon bimbit. Yang nyata, nyawa orang ramai dalam bahaya.
Oleh itu, sebelum carta kemalangan maut tercatat disebabkan oleh tabiat buruk ber-SMS, maka adalah lebih baik kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk menanganinya.
Mencegah adalah lebih baik sebelum keadaan menjadi lebih parah. Penggunaan SMS secara melampau tanpa mengambil kira tempat dan situasi perlu diharamkan sama sekali.

No comments:

Post a Comment